[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

33,000 wanita, kanak-kanak perempuan Palestin maut dalam dua tahun serangan Israel di Gaza

Bernama 26/11/2025 | 02:30 MYT
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 orang dan mencederakan hampir 171,000 yang lain dalam serangan selama dua tahun di Gaza yang turut memusnahkan sebahagian besar wilayah itu. - Gambar fail Reuters
RAMALLAH/ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 33,000 wanita dan kanak-kanak perempuan Palestin maut dalam serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak Okt 2023, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan Kementerian Luar Palestin pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar Palestin sempena Hari Antarabangsa Penghapusan Keganasan terhadap Wanita.

Kementerian itu berkata, lebih 12,500 wanita dan 20,000 kanak-kanak maut akibat serangan Israel di Gaza sejak dua tahun lalu, merujuk angka yang dikeluarkan oleh Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Israel didakwa melakukan "jenayah sistematik terhadap wanita Palestin, termasuk genosid, pembunuhan di luar bidang kehakiman, kehilangan paksa, penahanan sewenang-wenangnya dan pentadbiran, penyeksaan dan keganasan seksual, perobohan rumah, rampasan tanah, keganasan peneroka haram Israel, kebuluran serta intimidasi," menurut Kementerian Luar Palestin.

Kementerian itu turut menuduh Israel menggunakan peralatan dan teknologi pengawasan canggih, termasuk kecerdasan buatan dan pengintipan siber, bagi menyasarkan dan menakut-nakutkan rakyat Palestin, khususnya golongan wanita.

Kementerian itu menegaskan "keperluan mendesak untuk mengekalkan momentum antarabangsa bagi menamatkan pendudukan kolonial Israel yang tidak sah, melaksanakan penyelesaian dua negara dengan penubuhan negara Palestin yang merdeka, serta melindungi hak-hak rakyat Palestin yang tidak terpisah, termasuk hak menentukan nasib sendiri, kemerdekaan dan hak untuk kembali tanpa sekatan."

Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 orang dan mencederakan hampir 171,000 yang lain dalam serangan selama dua tahun di Gaza yang turut memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.

-- BERNAMA

#konflik Gaza #israel serang gaza #kanak-kanak Palestin #wanita palestin