DUNIA
4 maut dalam pertempuran polis dengan penyokong Hasina di Bangladesh

Susulan keganasan itu, pihak berkuasa menguatkuasakan perintah berkurung selama 22 jam di Gopalgani bermula 8 malam Rabu bagi mengelakkan rusuhan berulang. - Gambar/ Reuters
DHAKA: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penyokong bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Sheikh Hasina, pada Rabu, menurut pegawai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 13 cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penyokong Sheikh Hasina di Gopalganj, selepas cubaan menghalang perhimpunan Parti Warga Negara Kebangsaan (NCP).
- Perintah berkurung selama 22 jam dikuatkuasakan susulan keganasan, manakala polis dan tentera terpaksa campur tangan untuk melindungi pemimpin NCP yang menjadi sasaran serangan selepas perhimpunan.
- Sheikh Hasina kini hidup dalam buangan di India selepas digulingkan pada Ogos 2024, dan parti pimpinannya, Liga Awami, telah diharamkan oleh kerajaan sementara yang diketuai Muhammad Yunus.
Susulan keganasan itu, pihak berkuasa menguatkuasakan perintah berkurung selama 22 jam di daerah tersebut bermula 8 malam Rabu bagi mengelakkan rusuhan berulang.
Menurut saksi, lebih 300 orang menyerang pentas yang didirikan di sebuah taman awam bagi perhimpunan NCP sekitar tengah hari. Polis campur tangan dan membenarkan pemimpin NCP - yang melancarkan kempen selama sebulan bagi meraih sokongan sempena ulang tahun pertama kebangkitan itu -meneruskan perhimpunan.
Sebaik perhimpunan berakhir, sekumpulan penunjuk perasaan lain yang didakwa mempunyai kaitan dengan Parti Liga Awami pimpinan Hasina serta pertubuhan sayap depannya, cuba menyerang konvoi pemimpin NCP ketika mereka beredar dari lokasi, menurut saksi.
Anggota polis dan tentera membawa pemimpin NCP ke tempat selamat, yang mencetuskan pertempuran dengan para penunjuk perasaan.
Hasina kini hidup dalam buangan di India sejak melarikan diri dari negara itu berikutan kebangkitan besar-besaran rakyat pada 5 Ogos 2024. Parti Liga Awaminya diharamkan pada Mei tahun ini oleh pentadbiran sementara yang dipimpin oleh penerima Hadiah Nobel Muhammad Yunus.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami