DUNIA
46 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza

Sejak Israel menyambung semula kempen ketenteraan besar-besaran pada 18 Mac, sekurang-kurangnya 10,300 rakyat Palestin terbunuh dan 43,234 cedera. - Foto AP
GAZA: Sekurang-kurangnya 46 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Jumaat, menurut Pertahanan Awam Gaza, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 46 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan artileri Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada hari Jumaat, termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi.
- Serangan menyasarkan khemah pelarian, sekolah, pusat bantuan dan hospital, menyebabkan kematian besar dalam kalangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
- Jumlah korban konflik Gaza sejak Oktober 2023 mencecah 61,827 orang.
Sekurang-kurangnya 24 orang, termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak, dibunuh oleh tentera Israel ketika sedang menunggu untuk menerima bantuan makanan di hadapan pusat pengagihan bantuan di utara Rafah, selatan Semenanjung Gaza, di persimpangan Netzarim di tengah Semenanjung, dan di lintasan Zikim di utara, menurut Basal.
Beliau menambah empat orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, terbunuh dalam serangan artileri Israel yang menyasarkan perhimpunan penduduk Palestin dan sebuah rumah kediaman di kejiranan Zeitoun dan Tuffah, timur Bandaraya Gaza.
Dua lagi terbunuh dalam serangan udara ke atas khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di atas bumbung bangunan klinik pesakit luar di Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza, kata Basal.
Menurut Basal, tiga rakyat Palestin, termasuk seorang bayi, juga terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah yang menempatkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal di barat Bandaraya Gaza,
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan pada Jumaat berkata tentera Israel meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza, termasuk Bandaraya Gaza dan Khan Younis.
Sejak Israel menyambung semula kempen ketenteraan besar-besaran pada 18 Mac, sekurang-kurangnya 10,300 rakyat Palestin terbunuh dan 43,234 cedera, menjadikan jumlah keseluruhan korban di Gaza sejak konflik bermula pada Oktober 2023 kepada 61,827 orang dan 155,275 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Jumaat.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami