DUNIA
48 anggota penguat kuasa cedera dalam rusuhan di Belgrade - Menteri Dalam Negeri
Polis menghalang penunjuk perasaan anti-kerajaan yang mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya awal di Belgrade, Serbia, 28 Jun 2025. (Foto AP)
BELGRADE: Seramai 48 anggota Kementerian Dalam Negeri Serbia cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan ganas di Belgrade pada Sabtu malam, manakala 77 penunjuk perasaan telah ditahan, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Menteri Dalam Negeri Serbia Ivica Dacic.
"Semasa rusuhan, seramai 48 anggota Kementerian Dalam Negeri cedera, termasuk 38 anggota pasukan polis separa tentera... seorang anggota cedera parah dengan kecederaan di kepala dan tulang pipi retak, dipercayai akibat balingan batu atau jubin kepadanya," kata Dacic.
Seorang remaja bawah umur turut termasuk dalam 77 individu yang ditahan. Siasatan jenayah akan dibuka terhadap 35 daripada mereka. Selepas rusuhan, 22 orang menghubungi ambulans, menurut anggaran Dacic.
"Menurut data Pusat Ambulans, 22 orang mendapatkan rawatan perubatan, dua daripadanya mengalami kecederaan serius. Seorang dimasukkan ke hospital manakala seorang lagi yang mengalami keretakan siku kiri dibenarkan pulang untuk rawatan di rumah. Enam belas mengalami kecederaan ringan manakala selebihnya tidak mengalami kecederaan," katanya pada sidang media bersama Presiden Aleksandar Vucic dan Ketua Polis Dragan Vasilijevic. .
Vucic merasa hairan mengapa orang ramai meminta bantuan perubatan jika mereka tidak cedera. Presiden Serbia itu berkata beliau bersyukur tiada kematian berlaku semasa protes.
"Saya bersyukur tiada yang terkorban. Dragan tahu kami tidak tidur sepanjang malam, risau akan kemungkinan tragedi. Sungguh satu keajaiban tiada yang terkorban. Ini adalah perhimpunan pertama dalam sejarah Serbia di mana ada yang menyeru kepada keganasan. Ini tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman," kata Vucic.
Pada Rabu, pelajar dan penyokong parti pembangkang Serbia menuntut melalui media sosial supaya kepimpinan negara Balkan Barat itu membubarkan parlimen dan menetapkan tarikh pilihan raya awal sebelum malam 28 Jun.
Pada 19 Jun, Speaker Parlimen Serbia Ana Brnabic berkata penunjuk perasaan merancang untuk menyekat infrastruktur dan agensi kerajaan serta menyebabkan kerugian sebanyak EUR800 juta (US$936 juta) semasa perhimpunan pada 28 Jun.
-- BERNAMA