BRUSSELS: Lima orang cedera dalam dua insiden tembakan berasingan di pusat bandar Athens pada Selasa, menurut pihak berkuasa, ketika polis melancarkan operasi memburu seorang suspek warga emas, lapor Anadolu Ajansi dengan memetik stesen penyiar tempatan.
Insiden pertama berlaku di sebuah pejabat keselamatan sosial yang dikendalikan oleh EFKA, di mana seorang lelaki berusia 89 tahun didakwa memasuki bangunan dan naik ke tingkat empat, menurut penyiar awam ERT.
Advertisement
Suspek dilaporkan melepaskan tembakan menggunakan senapang patah, mencederakan seorang pekerja yang menyertai program pekerjaan kerajaan.
Mangsa mengalami kecederaan ringan di kaki dan dibawa ke hospital namun keadaannya dilaporkan tidak mengancam nyawa.
Tidak lama kemudian, suspek dipercayai menaiki teksi ke Mahkamah Rayuan Athens di Loukareos, di mana dia sekali lagi naik ke tingkat empat dan melepaskan tembakan, mencederakan empat lagi individu.
Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Polis berkata suspek meninggalkan senjata di lokasi kejadian kedua sebelum melarikan diri.
Operasi besar-besaran oleh polis sedang dijalankan untuk mengesannya.
-- BERNAMA-ANADOLU