DUNIA

5 maut, 6 cedera dalam nahas helikopter tentera udara Uganda di Somalia

Bernama 02/07/2025 | 23:40 MYT
Helikopter Mi-24 itu terhempas kira-kira 200 meter ke timur North Ramp di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Adde mengakibatkan letupan bahan letupan yang dibawanya serta menyebabkan kerosakan pada struktur berdekatan. - Gambar Reuters
KAMPALA/MOGADISHU: Lima orang maut manakala enam lagi cedera selepas sebuah helikopter tentera Uganda terhempas pada Rabu di ibu negara Somalia, Mogadishu, menurut kenyataan tentera Uganda, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu, helikopter berkenaan membawa lapan anggota, termasuk enam anak kapal. Juruterbang, pembantu juruterbang dan jurutera penerbangan terselamat namun mengalami kecederaan serius serta melecur teruk.

Penumpang lain terbunuh, manakala tiga orang awam di kawasan kejadian turut cedera.

Helikopter Mi-24 itu terhempas kira-kira 200 meter ke timur North Ramp di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Adde, Mogadishu, mengakibatkan letupan bahan letupan yang dibawanya serta menyebabkan kerosakan pada struktur berdekatan, menurut kenyataan itu.

Semua yang cedera, termasuk anak kapal dan orang awam, telah dipindahkan ke hospital Misi Peralihan Kesatuan Afrika di Somalia (ATMIS) berdekatan untuk menerima rawatan.

Pasukan tindak balas kecemasan bersama yang terdiri daripada anggota bomba lapangan terbang Mogadishu dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bersama pasukan pemusnah bahan letupan ATMIS, telah dikerahkan ke lokasi dan membantu operasi menyelamat.

Jurucakap tentera Uganda, Felix Kulayigye berkata, satu pasukan akan dihantar ke Mogadishu dalam masa terdekat bagi menyiasat punca nahas tersebut.

Helikopter berkenaan sedang dalam perjalanan pulang daripada misi pengiring rutin ketika kejadian berlaku.

Tentera Uganda menolak kemungkinan helikopter itu diserang dari luar, dengan Kulayigye menjelaskan bahawa Mogadishu sebahagian besarnya telah dibersihkan daripada kumpulan militan al-Shabab, menjadikannya tidak mungkin helikopter Mi-24 itu ditembak jatuh.

"Sebagai helikopter serangan, ia membawa roket, jadi roket itulah yang menyebabkan kebakaran. Jika ia akibat tindakan dari luar, kami tidak perlu bercakap mengenai siasatan kerana kami sudah tahu puncanya," katanya.

Misi Sokongan dan Penstabilan Kesatuan Afrika di Somalia (AUSSOM) mengesahkan kejadian itu, menyatakan bahawa helikopter yang dikendalikan oleh Kontinjen Angkatan Pertahanan Rakyat Uganda itu terhempas sekitar 7.30 pagi waktu tempatan (0430 GMT) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Baledogle, kira-kira 90 kilometer di barat laut ibu negara Somalia.

"Tiga daripada lapan penumpang di dalam helikopter itu berjaya diselamatkan segera dan dihantar ke Hospital Tahap II AUSSOM di Mogadishu untuk rawatan," menurut kenyataan AUSSOM yang dikeluarkan di Mogadishu.

Pengarah Jeneral Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Somalia, Ahmed Macallin Hassan berkata, operasi penerbangan di lapangan terbang berjalan seperti biasa, walaupun sebahagian landasan ditutup sementara akibat serpihan nahas.

Pada September lalu, tentera Uganda kehilangan sebuah helikopter pengangkut semasa penerbangan dari Mogadishu ke Lapangan Terbang Baledogle. Semua empat anggota pengaman di dalamnya terselamat dalam kejadian itu, menurut tentera.

Uganda merupakan antara negara penyumbang utama anggota tentera kepada misi pengaman Kesatuan Afrika di rantau Tanduk Afrika sejak 2007.

-- BERNAMA



#nahas helikopter #helikopter terhempas #Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Adde #tentera udara Uganda