5 pekerja China terbunuh dalam serangan pengganas di Pakistan

Bernama
Mac 26, 2024 22:24 MYT
Anggota polis memeriksa lokasi kejadian serangan pengganas di sebatang lebuh raya di daerah Shangla, dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan, 26 Mac 2024. (Foto AP)
ISLAMABAD: Seramai lima warga China dan seorang penduduk tempatan maut dalam serangan pengganas di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan pada Selasa, menurut Kedutaan China di negara itu, lapor Xinhua.
Kedutaan China dalam satu kenyataan berkata kejadian kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan (0800 GMT) itu berlaku apabila sebuah kenderaan dari Projek Hidroelektrik Dasu, yang sedang dibina oleh sebuah syarikat China diserang oleh pengganas.
"Kedutaan dan konsulat China di Pakistan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pengganas ini, mengucapkan takziah kepada mangsa di kedua-dua negara dan menyampaikan takziah kepada ahli keluarga mangsa," menurut kenyataan itu.
Kedutaan China di Pakistan berkata China telah bekerjasama dengan Pakistan untuk berusaha sedaya upaya menangani kejadian itu.
Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Sementara itu Presiden Pakistan Asif Ali Zardari mengecam serangan itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau turut berikrar bahawa Pakistan tidak akan membiarkan musuh persahabatan Pakistan-China berjaya dalam misi mereka.
-- BERNAMA
#pekerja China terbunuh #Pakistan #serangan pengganas #Projek Hidroelektrik Dasu