DUNIA
5 terbunuh, puluhan cedera ditembak tentera Israel ketika cuba dapatkan bantuan di Gaza

Pencerobohan Israel yang berterusan ke atas Gaza sejak Oktober 2023 telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 55,297 kematian yang didokumenkan, manakala lebih 128,426 lagi cedera. - Foto REUTERS
GAZA: Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera pada pagi Ahad selepas tentera pendudukan Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di kawasan tengah dan selatan Semenanjung Gaza, menurut sumber perubatan dan saksi.
Mangsa berada dalam kumpulan orang ramai yang berkumpul berhampiran bekas koridor Netzarim di tengah Gaza untuk mendapatkan bantuan makanan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Sumber perubatan mengesahkan tiga individu terbunuh di lokasi kejadian, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan.
Di selatan Gaza, dua lagi rakyat Palestin terbunuh dan beberapa cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kumpulan lain yang turut menunggu bantuan di Khan Younis. Sebelum itu, satu serangan udara Israel menyasarkan Bandar Hamad di utara Khan Younis.Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera pendudukan Israel dilaporkan berulang kali menyasarkan orang awam yang menunggu bantuan di seluruh Semenanjung Gaza, khususnya di Rafah dan kawasan tengah Gaza. Serangan berterusan itu telah mengorbankan puluhan mangsa dan mencederakan ramai lagi, sekali gus mencetuskan kecaman keras daripada pertubuhan antarabangsa.
Pencerobohan Israel yang berterusan ke atas Gaza sejak Oktober 2023 telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 55,297 kematian yang didokumenkan, manakala lebih 128,426 lagi cedera.
Ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan tidak dapat diselamatkan oleh pasukan kecemasan serta pertahanan awam akibat serangan berterusan Israel.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami