DUNIA

549 rakyat Palestin dibunuh ketika cuba dapatkan bantuan - Pejabat Media Gaza

Astro Awani 26/06/2025 | 09:40 MYT
Pihak berkuasa Gaza mendakwa orang awam yang kelaparan dipancing dan kemudiannya ditembak secara sistematik serta disengajakan setiap hari mengikut jadual tertentu. -Gambar fail/AP
GAZA: Sekurang-kurangnya 549 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan sejak penubuhan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) empat minggu lalu, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 549 rakyat Palestin terbunuh dan 4,066 cedera ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan sejak penubuhan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) empat minggu lalu.
  • Pihak berkuasa Gaza menuduh Israel menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai senjata pembunuhan beramai-ramai dan menyifatkan insiden di pusat bantuan sebagai jenayah perang.
  • Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Israel atau GHF berhubung dakwaan tersebut setakat ini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, pihak berkuasa Gaza turut memaklumkan bahawa insiden di pusat-pusat pengagihan bantuan itu telah menyebabkan 4,066 individu cedera dan seramai 39 lagi dilaporkan hilang dalam kalangan orang awam yang kelaparan.
“Apa yang berlaku di pusat-pusat yang digelar sebagai ‘pusat bantuan’ ini merupakan jenayah perang yang menyeluruh, dan pendudukan Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa Gaza mendakwa orang awam yang kelaparan dipancing dan kemudiannya ditembak secara sistematik serta disengajakan setiap hari mengikut jadual tertentu, lapor Al Jazeera.
“Pendudukan ini telah menggunakan makanan sebagai senjata pembunuhan beramai-ramai, menukar bantuan yang kononnya bertujuan menyelamat kepada alat pemusnahan dan penaklukan,” menurut kenyataan itu lagi.
GHF yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel ditubuhkan sebagai mekanisme alternatif untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza, dengan matlamat menyediakan makanan asas kepada 1.2 juta penduduk Gaza sebelum diperluas ke seluruh wilayah.
Ia beroperasi melalui titik masuk yang dikawal Israel seperti Pelabuhan Ashdod dan lintasan Kerem Shalom, serta bergantung kepada koordinasi keselamatan dengan tentera Israel.
Penubuhan GHF bagaimanapun telah mencetuskan kritikan meluas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan kemanusiaan yang menyifatkan ia sebagai satu bentuk 'pemolitikan bantuan' yang tidak telus, tidak bebas, dan tidak mempunyai keupayaan sebenar untuk menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Israel atau GHF berkaitan dakwaan tersebut.
#rakyat Palestin terbunuh #bantuan kemanusiaan #Gaza Humanitarian Foundation #GHF