INTERNATIONAL
55 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza

Sekurang-kurangnya 55 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel di Gaza pada Selasa. - Gambar fail Reuters
GAZA: Sekurang-kurangnya 55 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel di Gaza pada Selasa, menurut sumber perubatan tempatan, ketika serangan ke atas wilayah itu diteruskan walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat agar operasi ketenteraan dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa halangan.
Britain mengumumkan penggantungan rundingan perdagangan dengan Israel dan memanggil duta negara itu berhubung dasar yang disifatkan sebagai “melampau” di Tebing Barat dan Gaza.
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas turut meminta semakan semula terhadap perjanjian perdagangan EU-Israel, menurut agensi berita Belanda ANP.
Perang yang kini memasuki bulan ke-20 telah memusnahkan Gaza dan menyebabkan krisis kebuluran yang semakin meruncing dalam kalangan penduduknya.Hubungan Israel dengan masyarakat antarabangsa, termasuk sekutu rapatnya Amerika Syarikat, turut dilihat semakin renggang.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, tiada bantuan kemanusiaan yang berjaya diagihkan di Gaza setakat ini, walaupun Israel telah melonggarkan sekatan selama 11 minggu pada Isnin.
“Pihak berkuasa Israel meminta kami memunggah bekalan di sebelah Palestin di lintasan Kerem Shalom dan memuatkannya semula secara berasingan setelah pasukan kami dibenarkan masuk dari dalam Gaza,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.
Beliau berkata, empat trak membawa makanan bayi telah dihantar ke sebelah Palestin pada Isnin, manakala beberapa puluh trak membawa tepung, ubat-ubatan dan bekalan asas lain memasuki Gaza pada Selasa.
Tentera Israel mengesahkan, 93 trak bantuan PBB telah melepasi lintasan Kerem Shalom pada Selasa selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan.
Rundingan gencatan senjata secara tidak langsung antara Israel dan Hamas di Qatar dilaporkan kembali menemui jalan buntu, apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memanggil pulang pasukan perunding kanan dari Doha untuk mendapatkan nasihat lanjut.
Hamas menuduh Netanyahu menyertai rundingan secara tidak ikhlas dan hanya berpura-pura untuk mengaburi pandangan masyarakat antarabangsa.
“Tiada rundingan sebenar yang berlangsung sejak Sabtu lalu,” kata kumpulan pejuang Palestin itu dalam satu kenyataan.
Ketua tentera Israel semasa lawatan ke Gaza berkata, operasi terhadap Hamas akan diperluaskan, termasuk menawan lebih banyak kawasan dan memusnahkan infrastruktur kumpulan itu sehingga ia dikalahkan sepenuhnya. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami