DUNIA
59 mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan sekolah agama di Indonesia
Imej dari udara dengan menggunakan dron merakam runtuhan bangunan di kawasan sekolah berasrama Islam di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia pada 30 September 2025. - Gambar AP
SIDOARJO, JAWA TIMUR: Seramai 59 mangsa dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan sebuah sekolah di Pulau Jawa, Indonesia selepas struktur itu runtuh pada Isnin lalu.
Jurucakap Agensi Mitigasi dan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari dalam kenyataan pada Khamis berkata, data kemas kini setakat jam 11 malam Rabu menunjukkan jumlah mangsa yang belum ditemukan kekal seramai 59 orang.
“Angka ini diperoleh berdasarkan senarai kehadiran pelajar di sekolah berasrama itu. Bagaimanapun, ia masih boleh berubah kerana ada mangsa yang terselamat tetapi belum melaporkan diri,” katanya.
Setakat ini, sekurang-kurangnya lima mangsa terkorban selepas bangunan bertingkat berkenaan runtuh secara tiba-tiba ketika pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar.
Pada Rabu, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan lima mangsa yang terselamat, sementara ibu bapa yang panik terus mendesak usaha lebih giat dijalankan bagi menyelamatkan puluhan pelajar lain yang dipercayai masih terperangkap.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, Mohammad Syafii, menjelaskan operasi menyelamat sangat kompleks kerana struktur bangunan yang tidak stabil.
“Jika berlaku gegaran di satu bahagian, ia boleh menjejaskan bahagian lain. Jadi, untuk sampai ke lokasi mangsa, pasukan perlu menggali terowong bawah tanah,” katanya kepada media.
Namun kaedah itu berisiko tinggi, termasuk kemungkinan tanah runtuh.
Lebih mencabar, terowong hanya mampu dibina selebar kira-kira 60 sentimeter disebabkan tiang konkrit bangunan.
Bagi meningkatkan keupayaan operasi, dron berteknologi pengesan haba digunakan bagi mengesan mangsa yang terselamat, ketika tempoh ‘72 jam keemasan’ untuk peluang terbaik menyelamat semakin hampir ke penghujungnya.
Menurut pegawai penyelamat, Emi Freezer, setakat ini terdapat tanda-tanda mangsa masih hidup dikesan di tujuh kawasan runtuhan.
Bekalan air dan makanan juga berjaya dihantar masuk, namun hanya melalui satu laluan tunggal kerana struktur utama bangunan sudah musnah sepenuhnya.
Operasi turut terganggu selepas gempa bumi melanda perairan berhampiran pada malam Rabu, memaksa usaha menyelamat dihentikan seketika.
Punca kejadian masih dalam siasatan, namun, pakar mengesyaki kelemahan dalam kualiti pembinaan sebagai faktor utama.
Indonesia sebelum ini berdepan kebimbangan berterusan berhubung piawaian pembinaan yang longgar, di mana banyak struktur – khususnya kediaman – dibina secara berperingkat, membolehkan pemilik menambah tingkat baharu apabila kemampuan kewangan mengizinkan.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya tiga maut dan puluhan cedera apabila sebuah bangunan yang menjadi lokasi majlis keagamaan runtuh di wilayah Jawa Barat. - Agensi