[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
DUNIA

6 maut, 84 cedera dalam letupan kilang besi di Inner Mongolia

Agensi 19/01/2026 | 22:40 MYT
Asap tebal kelihatan dari loji keluli Inner Mongolia Baotou Steel Union selepas berlakunya letupan di Baotou, Inner Mongolia, China. - Gambar Reuters
BEIJING: Enam maut manakala 84 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kilang plat besi di wilayah Inner Mongolia, utara China pada Ahad.

Empat lagi individu masih hilang dan operasi mencari serta menyelamat sedang giat dijalankan, lapor agensi berita rasmi Xinhua pada Isnin (19 Jan).

Menurut makluman Bursa Saham oleh Inner Mongolia Baotou Steel Union, syarikat induk kepada kilang berkenaan, letupan itu berpunca daripada tangki air tepu dan stim di unit pengeluaran mereka di bandar Baotou.

Letupan tersebut menyebabkan kerosakan pada beberapa bahagian bangunan dan peralatan kilang, dan dijangka menjejaskan operasi di kilang plat besi serta kemudahan berhampiran.

Syarikat itu kini sedang menilai tahap kerugian yang dialami.

Semua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan, dengan tiga daripadanya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, menurut siaran CCTV pada Ahad.

Baotou Steel Union turut memaklumkan bahawa hasil pemantauan ekologi menunjukkan tiada kesan terhadap udara atau tanah di kawasan sekitar, dan tiada sisa air buangan dihasilkan susulan insiden tersebut.

Punca letupan masih dalam siasatan, dan syarikat itu memberi jaminan sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa. - Agensi


#kilang besi meletup #Inner Mongolia #tangki air tepu #kilang plat besi