DUNIA

60 maut dalam nahas bot di Nigeria

Bernama 04/09/2025 | 09:46 MYT
Bot itu membawa lebih 100 orang, dengan wanita dan kanak-kanak dilaporkan menjadi sebahagian besar mangsa yang terkorban. - Gambar hiasan
ABUJA: Sekurang-kurangnya 60 orang maut manakala puluhan lagi berjaya diselamatkan selepas sebuah bot karam di Niger, utara tengah Nigeria, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 60 orang maut dan ramai lagi masih hilang selepas sebuah bot sarat muatan karam berhampiran komuniti Gausawa di kawasan Borgu, akibat berlanggar dengan tunggul pokok.
  • Bot tersebut membawa lebih 100 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak yang menjadi sebahagian besar mangsa; 10 mangsa dilaporkan kritikal dan puluhan berjaya diselamatkan.
  • Pasukan penyelamat dan penyelam tempatan sedang giat menjalankan operasi mencari mangsa, dengan pihak berkuasa menyatakan jumlah korban dijangka terus meningkat.


"Angka korban telah meningkat kepada 60 dan jumlah mangsa terus bertambah," kata Pengerusi kerajaan tempatan Borgu, Abdullahi Baba Ara, sambil menambah bahawa 10 mangsa berada dalam keadaan kritikal dan ramai lagi masih hilang.

Menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Niger, pasukan penyelamat dan penyelam tempatan sedang giat menjalankan operasi mencari mangsa.

Kemalangan berlaku sekitar 11 pagi waktu tempatan (1000 GMT) Selasa apabila bot yang sarat muatan berlanggar dengan tunggul pokok lalu karam berhampiran komuniti Gausawa di kawasan kerajaan tempatan Borgu.

Bot itu membawa lebih 100 orang, dengan wanita dan kanak-kanak dilaporkan menjadi sebahagian besar mangsa yang terkorban, kata Ketua Daerah Shagumi Sa'adu Inuwa Muhammad.

-- BERNAMA


#Nigeria #bot karam #angka korban #Niger