QUITO: Sekurang-kurangnya 62 terkorban dalam rusuhan di tiga penjara Ecuador pada Selasa dalam kejadian yang disifatkan kerajaan sebagai usaha bersepadu beberapa organisasi jenayah.

Susulan kejadian, presiden negara berkenaan, Lenin Morena, telah mengisytiharkan keadaan darurat sementara di penjara terlibat bagi mengawal keganasan di fasiliti berkenaan.

"Terdapat dua kumpulan penjenayah yang ingin mengetuai banduan di pusat tahanan tersebut," kata Pengarah Agensi Penjara Ecuador, Edmundo Moncaya.

Jelasnya, angka kematian kini telah meningkat kepada 62.

Pihak berkuasa penjara berjaya mengawal keadaan di pusat berkenaan dengan bantuan tambahan 800 anggota polis.

Kejadian tercetus di penjara daerah di Guayas, Azuay dan Cotopaxi, yang merangkumi 70% daripada jumlah keseluruhan populasi penjara di Ecuador, menurut statistik rasmi kerajaan.

Jurucakap kerajaan memaklumkan beberapa anggota polis tercedera dalam kejadian tersebut namun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Pegawai penjara berjaya melarikan diri ketika rusuhan tercetus.

Moreno memaklumkan dalam ciapan terbaharu di akaun Twitter miliknya, beliau telah mengarahkan angkatan tentera untuk mengawal senjata, peluru dan bahan letupan di sepanjang bahagian luar setiap penjara di Ecuador.

Terdapat kira-kira 53 pusat tahanan di Ecuador, termasuk pusat tahanan juvana, dengan populasi 37,500 banduan, menurut data rasmi kerajaan.