Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

67 kanak-kanak maut di Semenanjung Gaza sejak gencatan senjata bermula - UNICEF

Bernama 21/11/2025 | 21:50 MYT
Sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak maut di Semenanjung Gaza sejak genjatan senjata terbaharu antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober, menurut UNICEF. - Gambar fail Reuters
VIENNA: Sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak maut di Semenanjung Gaza sejak genjatan senjata terbaharu antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Berpuluh-puluh lagi cedera, kata jurucakap UNICEF Ricardo Pires di Geneva, memetik organisasi rakan di lapangan.

"Tidak ada tempat yang selamat untuk mereka," katanya merujuk kepada kanak-kanak terbabit. Walaupun keadaan perubatan di Gaza semakin bertambah baik, sejumlah 4,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan yang cedera parah masih menunggu untuk dipindahkan bagi menerima rawatan di luar Semenanjung Gaza.

Israel dan Hamas mencapai persetujuan untuk satu genjatan senjata pada Oktober, namun ia telah beberapa kali dilanggar sejak itu.

Martin Penner daripada Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, penduduk Gaza sangat bimbang dengan ketibaan musim sejuk.

Beliau menambah bahawa suhu yang semakin menurun dan hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini telah menunjukkan cabaran yang bakal dihadapi.

Penner berkata, penduduk kini mendapat bekalan makanan yang lebih baik hasil penghantaran bantuan, dengan kedai roti dan dapur tempatan dapat menyediakan makanan kepada orang ramai. Pasar juga kembali dipenuhi bekalan, katanya.

Bagaimanapun, banyak barangan tidak mampu dibeli kebanyakan penduduk, dengan harga seekor ayam mencecah AS$25 sebagai contoh, kata Penner.

"Keadaan lebih baik berbanding sebelum genjatan senjata, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan," katanya.

-- BERNAMA


#konflik Gaza #kanak-kanak maut #gencatan senjata #UNICEF