7 cedera dalam serangan dron Israel di selatan Lubnan

Sejak serangan terhadap Lubnan bermula pada Oktober 2023, tentera Israel dilaporkan telah membunuh lebih 4,000 orang dan mencederakan hampir 17,000 yang lain. - Gambar/ Agensi
ISTANBUL: Tujuh orang cedera pada Sabtu apabila sebuah dron Israel menyerang sebuah kenderaan di Bint Jbeil, selatan Lubnan, sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang diisytiharkan pada akhir 2024, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA), dron berkenaan melancarkan dua peluru berpandu ke arah sebuah kereta berhampiran Hospital Salah Ghandour di bandar Bint Jbeil, wilayah Nabatieh.
Agensi itu yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan tujuh individu cedera dalam serangan itu, namun butiran mengenai tahap kecederaan mereka tidak didedahkan.
Serangan berlaku ketika ketegangan di kawasan sempadan semakin memuncak, selepas tentera Israel melancarkan siri serangan udara pada Khamis terhadap beberapa bandar di selatan Lubnan, disertai arahan pemindahan penduduk, perintah seumpamanya sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Ketegangan di selatan Lubnan meningkat sejak beberapa minggu lalu, dengan tentera Israel didakwa terus melancarkan serangan udara hampir setiap hari di wilayah Lubnan atas alasan menyasarkan anggota dan infrastruktur Hizbullah, meskipun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa sejak November 2024.
Sejak serangan terhadap Lubnan bermula pada Oktober 2023, tentera Israel dilaporkan telah membunuh lebih 4,000 orang dan mencederakan hampir 17,000 yang lain.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

