DUNIA

7 maut, 10 cedera dalam nahas bas terbalik di wilayah pergunungan Vietnam

Astro Awani 27/12/2025 | 05:45 MYT
Keadaan bas rombongan amal yang terbalik di Yen Bai, Vietnam, mengakibatkan tujuh kematian pada pagi Sabtu. -Foto VNA/VNS
HANOI: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah bas membawa rombongan amal terbalik di jalan pergunungan wilayah Yen Bai, utara Vietnam, pagi Sabtu.


Ringkasan AI
  • Bas rombongan amal terbalik di Yen Bai, Vietnam, mengakibatkan 7 kematian dan 10 cedera pada pagi Sabtu.
  • Mangsa terdiri daripada sukarelawan dalam perjalanan misi kebajikan di kawasan pedalaman.
  • Kemalangan ini menambah statistik nahas jalan raya di Vietnam, dipercayai disebabkan kegagalan sistem brek dan keadaan jalan pergunungan yang mencabar.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), bas 29 tempat duduk itu sedang menuruni cerun di Lebuh Raya Nasional 174 berhampiran Komun Phinh Ho apabila hilang kawalan dan terbalik sekitar jam 7.40 pagi waktu tempatan.

Kenderaan tersebut dipercayai mengalami kegagalan brek sebelum terbalik.

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 10 mangsa yang terselamat dari bangkai bas yang remuk teruk, manakala beberapa lagi dilaporkan masih terperangkap ketika operasi menyelamat dijalankan.

Jentera berat dikerah bagi memotong rangka bas untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Pengerusi Komun Phinh Ho, Hoang Anh Tuan, memaklumkan semua mangsa adalah sukarelawan yang dalam perjalanan menjalankan misi kebajikan di kawasan pedalaman.

Polis, tentera, pegawai tempatan dan penduduk sekitar turut digerakkan membantu operasi menyelamat.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca sebenar kemalangan, namun siasatan awal menjurus kepada kemungkinan kegagalan sistem brek sebagai faktor utama.

Kemalangan ini menambah kepada statistik nahas jalan raya di Vietnam, yang sering dikaitkan dengan keadaan jalan mencabar di kawasan pergunungan serta isu keselamatan kenderaan awam.

Pihak berkuasa menyeru syarikat pengangkutan dan pemandu lebih berhati-hati, khususnya ketika melalui laluan berbukit yang licin dan berselekoh tajam, terutamanya dalam musim hujan dan kabus tebal yang mengurangkan jarak penglihatan.



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah bilangan mangsa yang cedera akibat kemalangan bas di Yen Bai, Vietnam?
    A: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan 10 cedera selepas bas terbalik di jalan pergunungan wilayah Yen Bai.
  • Q: Apakah faktor yang dipercayai menyebabkan kemalangan bas tersebut?
    A: Kemalangan bas tersebut dipercayai disebabkan oleh kegagalan brek sebelum bas terbalik di Lebuh Raya Nasional 174.
  • Q: Siapakah yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam bas?
    A: Pasukan penyelamat, termasuk jentera berat dan komuniti tempatan, terlibat dalam operasi menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam bas terbalik.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa berhubung kejadian nahas jalan raya ini?
    A: Pihak berkuasa menyeru syarikat pengangkutan dan pemandu untuk lebih berhati-hati, khususnya ketika melalui laluan berbukit yang licin dan berselekoh tajam.
  • Q: Apa yang menjadi tumpuan siasatan awal berhubung punca sebenar kemalangan ini?
    A: Siasatan awal menjurus kepada kemungkinan kegagalan sistem brek sebagai faktor utama yang menyebabkan kemalangan bas di wilayah Yen Bai, Vietnam.



#Vietnam #rombongan amal #bas terbalik #wilayah pergunungan #Yen Bai