7 terkorban, 13 lagi masih hilang dalam runtuhan salji di Itali

Bernama
Julai 5, 2022 14:12 MYT
Runtuhan bongkah ais, salji dan batu dicetuskan akibat glasier mencair. - AP Newsroom
ROME: Angka kematian akibat runtuhan salji di utara Itali telah meningkat kepada tujuh orang setakat ini, lapor Xinhua.
Perdana Menteri Itali Mario Draghi pada Isnin melawat lokasi yang mengorbankan nyawa tujuh pendaki setakat ini, selepas sebahagian daripada glasier Punta Rocca, di puncak Marmolada di Pergunungan Dolomite, runtuh pada Ahad.
Seramai 10 mangsa cedera, dan dua daripadanya parah, manakala 13 lagi masih hilang.
Runtuhan bongkah ais, salji dan batu dicetuskan akibat glasier mencair.
Pakar mengaitkan tragedi itu dengan gelombang haba dan suhu tinggi yang melanda dunia; suhu di puncak gunung dilaporkan sekitar 10 darjah Celsius sedangkan suhu normal sepatutnya di bawah sifar.
Penggunaan dron dengan pengesan haba digunakan bagi membantu operasi pencarian.
-- BERNAMA
#Runtuhan salji #Itali #pendaki maut #Mario Draghi