BANDAR GAZA / ISTANBUL: Kira-kira 70 peratus generator elektrik di hospital di Semenanjung Gaza tidak lagi beroperasi akibat kekurangan bahan api, minyak dan alat ganti di tengah-tengah sekatan berterusan Israel, menurut Kementerian Kesihatan pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Pengarah Pusat Maklumat Kesihatan kementerian itu Zaher Al-Wahidi berkata pada sidang media di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza bahawa kekurangan bahan api dan minyak mengancam operasi jabatan kritikal serta perkhidmatan yang menyelamatkan nyawa di hospital, yang boleh terhenti pada bila-bila masa.
Zaher Al-Wahidi, Pengarah Pusat Maklumat Kesihatan kementerian itu berkata dalam sidang media di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza bahawa kekurangan bahan api dan minyak menjadi ancaman dan operasi jabatan hospital yang sedia kritikal dan berfungsi menyelamatkan nyawa, bakal terhenti pada bila-bila masa.
Wahidi menolak dakwaan Israel bahawa pihak rejim memudahkan kemasukan bantuan perubatan dan bekalan logistik ke Semenanjung Gaza, sambil menegaskan bahawa tindakan itu merupakan usaha untuk “memperbaiki imej” keadaan sebenar dan menyembunyikan kempen “pembersihan etnik” di wilayah berkenaan.
Beliau berkata bekalan yang dibenarkan memasuki Gaza “hanya mewakili jumlah yang sangat kecil” dan tidak memenuhi keperluan operasi minimum kemudahan kesihatan, menyebabkan mereka “bergelut antara hidup dan mati.”
“Sistem kesihatan di Semenanjung Gaza sedang didorong ke arah pelaksanaan hukuman mati secara sistematik dan beramai-ramai, melangkaui malapetaka kemanusiaan kepada pembunuhan beramai-ramai dalam sektor kesihatan,” katanya.
Wahidi berkata krisis bahan api turut menyebabkan syarikat pengangkutan awam dan bas mengumumkan pemberhentian operasi sepenuhnya atau hampir sepenuhnya pada Rabu, sekali gus menghalang ratusan petugas perubatan daripada pergi ke tempat kerja mereka, selain menyebabkan kemudahan kesihatan semakin terasing serta menjejaskan keupayaan mereka untuk bertindak balas terhadap isu kecemasan.
“Kemudahan kesihatan bertukar menjadi struktur yang terasing dan perlahan-lahan mati di tengah-tengah sekatan menyeluruh yang berterusan serta halangan terhadap kemasukan keperluan asas kehidupan,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu berlaku serentak dengan “kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang belum pernah berlaku sebelum ini”, gangguan terhadap peralatan diagnostik serta penutupan laluan rawatan ke luar negara bagi pesakit dan mangsa yang cedera yang berada dalam senarai menunggu.
Wahidi menggesa masyarakat antarabangsa, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mengambil “tindakan segera dan mendesak” bagi membolehkan bekalan perubatan dan operasi penting memasuki Gaza.
Sejak bermulanya serangan Israel di Gaza pada 8 Okt 2023, hampir 74,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 174,000 cedera manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah itu musnah.
-- BERNAMA-ANADOLU