DUNIA

73 suspek jenayah penipuan warga Korea Selatan ditahan di Kemboja, dihantar pulang secara paksa

Bernama 22/01/2026 | 20:00 MYT
Seramai 73 suspek warga Korea Selatan yang ditahan di Kemboja kerana disyaki terbabit dalam jenayah penipuan akan dihantar pulang secara paksa, menurut Pejabat Presiden, Blue House pada Khamis. - Gambar hiasan
SEOUL: Seramai 73 suspek warga Korea Selatan yang ditahan di Kemboja kerana disyaki terbabit dalam jenayah penipuan akan dihantar pulang secara paksa, menurut Pejabat Presiden, Blue House pada Khamis, lapor Xinhua.

Jurucakap Presiden Kang Yu-jung dalam taklimat media berkata, 73 suspek warga Korea Selatan itu akan dibawa pulang secara paksa pada pagi Jumaat oleh pasukan penyiasatan bersama, selepas dituduh menipu 869 warga Korea Selatan melibatkan kira-kira 48.6 bilion won (kira-kira AS$33.1 juta) dari Kemboja.

Kang berkata, ia adalah penghantaran pulang suspek jenayah terbesar setakat ini, sambil menegaskan bahawa kejayaan itu hasil penjejakan sekian lama oleh pasukan penyiasatan bersama yang terdiri daripada polis Korea Selatan dan Kemboja serta Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan.

Pasukan penyiasatan itu menyerbu tujuh kompleks penipuan di Sihanoukville, Poipet dan Mondulkiri di Kemboja untuk menahan suspek.

Kang berkata, semua suspek yang dihantar pulang selepas waran tangkap dikeluarkan, akan diserahkan kepada pihak berkuasa sebaik tiba bagi siasatan menyeluruh dan proses perundangan seterusnya. Beliau berkata pihak berkuasa juga akan merampas hasil jenayah dengan menjejaki aset tersembunyi suspek hingga ke akar umbi.

-- BERNAMA



#scam #sindiket penipuan #Korea Selatan #jenayah #Kemboja