DUNIA
74 terbunuh dalam serangan AS di terminal minyak Yaman

Tentera AS menyatakan serangan itu bertujuan memutuskan sumber tenaga kumpulan Houthi. - Foto AP
HODEIDA: Sekurang-kurangnya 74 orang terbunuh dan 171 lagi cedera dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas terminal minyak Ras Isa di pesisir Laut Merah, pada Khamis.
Ia menjadikannya serangan paling dahsyat sejak kempen pengeboman terhadap kumpulan Houthi bermula tahun lalu.
Serangan itu menyasarkan kemudahan penting yang berfungsi sebagai pusat import bahan api utama negara itu.
Presiden AS, Donald Trump, telah mengarahkan operasi ketenteraan diperhebatkan bulan lalu dalam tindakan terbesar AS di Asia Barat sejak beliau memegang jawatan pada Januari.Jurucakap Kementerian Kesihatan Houthi, Anees Al-Asbahi, berkata angka kematian dan kecederaan adalah berdasarkan data awal dengan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Tentera AS menyatakan serangan itu bertujuan memutuskan sumber tenaga kumpulan Houthi.
Terminal Ras Isa, yang terletak kira-kira 55 kilometer di utara bandar pelabuhan Hodeidah, mempunyai kapasiti penyimpanan minyak sebanyak 3 juta tong.
Ia turut digunakan oleh syarikat minyak negara, Safer Oil Company, serta Yemen Petroleum Company yang menguruskan import dan agihan bahan api.
Ramai yang terkorban merupakan pekerja di dua syarikat tersebut.
Kumpulan Houthi, yang disokong Iran, telah menguasai sebahagian besar wilayah Yaman sejak sedekad lalu.
Sejak November 2023, kumpulan itu melancarkan puluhan serangan terhadap kapal-kapal di Laut Merah sebagai solidariti terhadap Palestin berikutan perang di Gaza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami