DUNIA

75 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Gaza - Pertahanan awam

Bernama 04/08/2025 | 04:10 MYT
Sejumlah 23 orang maut berhampiran pusat agihan bantuan yang disokong Amerika Syarikat. - Foto fail/AP
GAZA: Sekurang-kurangnya 75 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan dan serangan udara Israel di Gaza pada Ahad, lapor Xinhua memetik kenyataan Pertahanan Awam Gaza.

Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmoud Basal berkata seramai 28 mangsa terbunuh di Khan Younis dan kawasan utara Rafah di selatan Gaza.

Daripada jumlah itu, 23 orang maut berhampiran pusat agihan bantuan yang disokong Amerika Syarikat, manakala tiga lagi terkorban apabila sebuah sekolah yang menempatkan pelarian dibedil.

Di utara Gaza, sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 198 lagi cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penduduk yang sedang menunggu bantuan berhampiran lintasan Zikim, di barat laut Beit Lahia.

Seramai tujuh lagi maut dan 27 cedera di tengah Gaza apabila tentera Israel menyasarkan sekumpulan rakyat Palestin berhampiran pusat agihan bantuan di persimpangan Netzarim.

Seorang petugas Persatuan Bulan Sabit Merah turut terbunuh dalam serangan ke atas bangunan pertubuhan itu di Khan Younis, manakala seorang lagi maut dalam serangan berasingan di bandar sama, kata Basal.

Pasukan pertahanan awam turut menemukan mayat 22 mangsa yang terbunuh akibat serangan Israel ketika mereka cuba pulang ke kediaman masing-masing di timur Bandar Gaza.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh tentera Israel berhubung kejadian itu.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Kesihatan Gaza, Dr Munir al-Barash berkata hospital-hospital yang masih beroperasi kini berada dalam keadaan terlalu sesak, dengan bilik bedah, wad dan juga koridor dipenuhi pesakit.

Al-Barash menyifatkan keadaan itu bukan sekadar bencana kesihatan, tetapi satu jenayah terhadap kemanusiaan.

"Membiarkan sistem kesihatan Gaza lumpuh ibarat menandatangani hukuman mati," tegasnya.

-- BERNAMA






#serangan udara #Israel #Gaza #pusat agihan bantuan