DUNIA

798 maut semasa cuba dapatkan bantuan di Gaza sejak akhir Mei - OHCHR

Bernama 11/07/2025 | 21:00 MYT
Pertubuhan kemanusiaan menggesa supaya mekanisme agihan bantuan yang dikendalikan PBB, yang beroperasi di Gaza sehingga Mac lepas sebelum sekatan Israel diperketatkan, dikembalikan semula. - Gambar fail/Reuters
GENEVA: Sekurang-kurangnya 798 rakyat Palestin maut akibat serangan tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan di Gaza sejak akhir Mei, menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), pada Jumaat.

Jurucakap pejabat itu memaklumkan kepada wartawan, 615 daripada mereka terbunuh berhampiran pusat agihan bantuan yang dikendalikan oleh apa yang dikenali sebagai Yayasan Kemanusiaan Gaza sejak 27 Mei.

Sebanyak 183 lagi terkorban di sepanjang laluan yang digunakan konvoi bantuan.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), angka kematian yang membimbangkan ini berlaku di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung mekanisme agihan bantuan yang sedang dilaksanakan di Gaza.

Awal bulan ini, 169 pertubuhan kemanusiaan menyeru supaya mekanisme agihan bantuan yang diketuai Amerika Syarikat dan Israel melalui Yayasan Kemanusiaan Gaza dihentikan, susulan laporan hampir setiap hari mengenai rakyat Palestin yang ditembak mati oleh tentera Israel ketika menunggu bantuan berhampiran pusat yayasan itu.

Pertubuhan berkenaan menggesa supaya mekanisme agihan bantuan yang dikendalikan PBB, yang beroperasi di Gaza sehingga Mac lepas sebelum sekatan Israel diperketatkan, dikembalikan semula.

Sejak akhir Mei, bantuan secara beransur-ansur dibenarkan masuk ke Gaza tetapi diagihkan melalui yayasan terbabit, yang ditolak oleh banyak kumpulan bantuan antarabangsa kerana kaitannya dengan pihak berkuasa Israel.

Dalam satu kenyataan bersama, pertubuhan bantuan itu mengkritik Yayasan Kemanusiaan Gaza kerana mengambil alih proses pengagihan bantuan, dengan memberi amaran bahawa operasi yayasan itu telah mewujudkan keadaan berbahaya dan membawa maut kepada orang awam.

Penandatangan kenyataan itu termasuk pertubuhan dari Eropah, Amerika Syarikat dan Israel yang terlibat dalam bidang bantuan perubatan, makanan, pembangunan dan hak asasi manusia.

-- BERNAMA



#bantuan kemanusiaan #Gaza #Israel #Palestin