MOGADISHU: Sekurang-kurangnya lapan terbunuh manakala 17 yang lain termasuk 13 kanak-kanak sekolah cedera dalam kejadian letupan bom kereta oleh pengebom bunuh diri di Mogadishu, Somalia pada Khamis.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku di daerah Hodan, berhampiran sekolah dan kediaman bekas Presiden Abdikasim Salat Hassan.

Pihak polis memaklumkan, penyerang itu menyasarkan konvoi yang mengiringi pasukan keselamatan.

Pada masa sama, pihaknya menjangkakan bahawa angka korban mungkin meningkat.

Militan Al-Shabab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Pada awal Mac lalu, lebih 20 orang terbunuh, dan sekurang-kurangnya 30 cedera berikutan letupan bom kereta di pintu pagar restoran terkenal Luul Yemeni berhampiran pelabuhan.