[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
INTERNATIONAL

80,000 rakyat Filipina di luar negara mengundi dalam pilihan raya Mei ini

Bernama 21/04/2025 | 12:52 MYT
Proses pengundian luar negara bermula pada 13 April dan akan berakhir pada 12 Mei pukul 7 malam waktu Filipina.
MANILA: Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec) pada Isnin memaklumkan yang seramai 80,000 rakyat Filipina di luar negara mendaftar untuk mengundi dalam Pilihan Raya Pertengahan Penggal yang akan datang pada Mei ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Pengerusi Comelec George Garcia berkata pihaknya menyasarkan kadar keluar mengundi sebanyak 50 peratus atau seramai 600,000 daripada 1.241 juta pengundi berdaftar di luar negara. Sebahagian pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka menggunakan mesin pengiraan automatik di 16 lokasi luar negara.
"Kami tidak dapat memberikan jumlah tepat, tetapi hasilnya setakat ini menarik. Ketika ini, lebih kurang 80,000 mendaftar untuk mengundi secara dalam talian," kata Garcia dalam satu sidang media. "Kami berharap rakyat kita akan keluar mengundi...Masih berbaki 21 hari lagi untuk mengundi," katanya.
Proses pengundian luar negara bermula pada 13 April dan akan berakhir pada 12 Mei pukul 7 malam waktu Filipina.
Garcia turut menjelaskan yang kadar keluar mengundi semasa pilihan raya pertengahan penggal lazimnya lebih rendah berbanding pilihan raya presiden.
"Itu memang menjadi trend setiap kali pilihan raya pertengahan penggal. Kadar keluar mengundi biasanya rendah kerana tiada pemilihan Presiden dan Naib Presiden," katanya.
-- BERNAMA
#proses undi #pilihan raya #pilihan raya Filipina #rakyat Filipina #comelec