DUNIA

85 peratus Semenanjung Gaza terletak dalam zon tentera - PBB

Bernama 03/07/2025 | 02:40 MYT
PBB memaklumkan, 85 peratus daripada wilayah Semenanjung Gaza kini berada dalam zon ketenteraan yang dikuasai Israel, kawasan di bawah arahan pemindahan atau gabungan kedua-duanya. - Gambar fail AP
HAMILTON (Kanada): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu memaklumkan, 85 peratus daripada wilayah Semenanjung Gaza kini berada dalam zon ketenteraan yang dikuasai Israel, kawasan di bawah arahan pemindahan atau gabungan kedua-duanya, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata dalam sidang media, arahan pemindahan "amat menjejaskan akses penduduk terhadap bantuan kemanusiaan serta menyukarkan petugas bantuan untuk sampai kepada mereka yang memerlukan."

Beliau merujuk kepada arahan pemindahan terbaharu Israel melibatkan dua kejiranan di Khan Younis yang menempatkan sehingga 80,000 penduduk, sambil memaklumkan, rakan-rakan PBB melaporkan bahawa kawasan takungan utama Al Satar kini tidak lagi dapat diakses susulan arahan itu.

Al Satar merupakan hab pengagihan air utama untuk Khan Younis dan menjadi titik kritikal bagi bekalan air yang disalurkan melalui paip dari Israel.

"Sebarang kerosakan terhadap takungan itu boleh menyebabkan sistem pengagihan air di bandar berkenaan lumpuh sepenuhnya, sekali gus mencetuskan situasi kemanusiaan yang serius," katanya.

Dujarric turut memberi amaran bahawa arahan pemindahan "memberi tekanan terhadap perkhidmatan asas dan memaksa orang awam berhimpit dalam kawasan yang semakin sempit" di wilayah yang terkepung itu.

Sejak gencatan senjata yang gagal pada Mac lalu, kira-kira 714,000 orang sekali lagi dipaksa berpindah di seluruh Gaza, termasuk hampir 29,000 orang dalam tempoh hanya 24 jam antara Ahad dan Isnin lalu, katanya.

-- BERNAMA





#Gaza #zon ketenteraan #israel serang gaza #arahan pemindahan