Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

9 ditahan disyaki terlibat atur perlawanan Liga Bola Keranjang Singapura

Bernama 19/08/2025 | 21:20 MYT
CPIB menahan lapan rakyat Singapura dan seorang penduduk tetap, berusia antara 19 dan 35 tahun, termasuk pemain daripada pasukan yang menyertai pertandingan Liga Bola Keranjang Kebangsaan Divisyen 1 K. Star itu. - Foto CPIB
SINGAPURA: Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura menahan sembilan individu disyaki terlibat dalam kegiatan mengatur perlawanan Liga Bola Keranjang Kebangsaan Divisyen 1 K. Star tahun ini.

CPIB dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan pihaknya menahan lapan rakyat Singapura dan seorang penduduk tetap, berusia antara 19 hingga 35 tahun, termasuk pemain daripada pasukan yang menyertai pertandingan itu.

"Satu daripada perlawanan yang dipercayai telah diatur adalah antara pasukan Tagawa dan Tong Whye yang berlangsung pada 1 Ogos 2025," menurut CPIB.

Agensi itu menambah siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

CPIB turut menegaskan pendirian tegas Singapura yang tidak bertolak ansur terhadap rasuah sambil menyatakan bahawa kegiatan mengatur perlawanan dalam apa jua bentuk tidak akan dibenarkan.

"CPIB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat jika mereka memberi, menerima atau menawarkan rasuah untuk mengatur perlawanan," katanya.

-- BERNAMA


#Liga Bola Keranjang #atur perlawanan #Singapura #Rasuah