9 maut dalam letupan bom angkara pengebom bunuh diri

Bernama
Mac 6, 2023 09:31 MYT
Kejadian berlaku berhampiran daerah Sibbi, menyasarkan trak yang membawa anggota separa tentera Balochistan Constabulary. -Gambar hiasan
KARACHI: Sekurang-kurangnya sembilan anggota separa tentera terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam kejadian pengebom bunuh diri di wilayah Balochistan barat daya Pakistan, pada Isnin.
Kejadian berlaku berhampiran daerah Sibbi, menyasarkan trak yang membawa anggota separa tentera Balochistan Constabulary, kata jurucakap kerajaan Balochistan Farah Azeem, lapor Agensi Anadolu.
Beliau berkata suspek yang menunggang motosikal merempuh trak membawa anggota tentera yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan sempena perayaan tahunan "Sibi Mela".
Angka kematian dijangka meningkat memandangkan ramai mangsa yang cedera dilaporkan kritikal.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif yang kini berada di Qatar mengecam insiden itu dan mengarahkan agensi keselamatan untuk membawa pelakunya ke muka pengadilan.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu setakat ini.
Wilayah itu merupakan laluan utama projek Koridor Ekonomi China-Pakistan bernilai AS$64 bilion, yang menghubungkan wilayah Xinxiang barat laut China ke pelabuhan Gawadar di Balochistan.
-- BERNAMA
#pengebom bunuh diri #anggota separa tentera #Balochistan #Shehbaz Sharif