9 maut lelaki bersenjata serang bas di Ghana

Bernama
September 22, 2023 04:37 MYT
Mangsa diserang ketika dalam perjalanan dari Bawku, sebuah komuniti bandar yang bergolak di wilayah itu, ke pasar di negara jiran Burkina Faso. - Gambar hiasan
ACCRA: Sekurang-kurangnya sembilan orang mati ditembak dan beberapa lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali menembak sebuah bas di Wilayah Timur Hulu Ghana, kata seorang pegawai kepada Xinhua pada lewat Khamis.
Mangsa diserang ketika dalam perjalanan dari Bawku, sebuah komuniti bandar yang bergolak di wilayah itu, ke pasar di negara jiran Burkina Faso, kata Zubeiru Abdulai, ketua eksekutif daerah Pusiga.
"Peniaga terbabit berkonvoi dengan polis pengiring berikutan serangan bersenjata yang kerap berlaku di dalam dan di sekitar Bawku apabila lelaki bersenjata yang tidak dikenali tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah bas dari jarak dekat di sekitar Pusiga, menyebabkan sembilan orang maut dan yang lain cedera."
Abdulai berkata pasukan keselamatan bertindak pantas dengan melancarkan gerakan memburu penyerang.
Sehingga kini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.
-- BERNAMA
#Ghana #kes tembakan #angka kematian #serangan bas