DUNIA

94 mayat rakyat Palestin ditemukan di bawah runtuhan di Gaza

Bernama 21/12/2025 | 01:00 MYT
Ribuan rakyat Palestin dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah di Gaza sejak bermulanya perang Israel ke atas wilayah itu pada Oktober 2023. - Foto fail/AP
GAZA: Pertahanan Awam Gaza pada Sabtu memaklumkan bahawa pihaknya menemukan mayat 94 rakyat Palestin yang tertimbus di bawah runtuhan di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, organisasi berkenaan berkata mayat-mayat itu dijumpai di kawasan tengah bandaraya Gaza dan dipindahkan ke jabatan forensik di Kompleks Perubatan Al-Shifa bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Syuhada di bandar Deir al-Balah.

Ribuan rakyat Palestin dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah di Gaza sejak bermulanya perang Israel ke atas wilayah itu pada Oktober 2023.

Pertahanan Awam berkata pihaknya, dengan kerjasama kementerian kesihatan dan hal ehwal agama berjaya memindahkan ribuan mayat yang dikebumikan di lokasi rawak ke tanah perkuburan di wilayah itu.

Israel membunuh hampir 70,700 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,100 yang lain dalam serangan di Gaza sejak Oktober 2023, sebelum serangan itu dihentikan susulan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Okt.

-- BERNAMA





#mayat #Gaza #tertimbus #runtuhan bangunan