DUNIA

95 maut akibat kebuluran, penyakit di kem pelarian barat Sudan sejak 40 hari lepas

Bernama 29/09/2025 | 03:10 MYT
Penduduk yang hilang tempat tinggal berlindung di sebuah sekolah selepas diarahkan pindah oleh tentera Sudan dari kawasan yang pernah dikawal oleh RSF separa tentera di Omdurman, Sudan, 23 Mac 2025. - Gambar fail/AP
KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 95 orang maut akibat kebuluran dan penyakit sejak 40 hari lalu di kem pelarian Abu Shouk di El Fasher, barat Sudan, menurut kumpulan sukarelawan pada Ahad, lapor Xinhua.

Abu Shouk Camp Emergency Room dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 73 kanak-kanak bawah lima tahun dan 22 warga emas meninggal dunia akibat kebuluran dan penyakit.

"Situasi keselamatan dan kemanusiaan di El Fasher kekal parah, dengan penduduk berdepan kekurangan bekalan makanan, air dan rawatan kesihatan, khususnya golongan pelarian yang terputus bantuan dan perkhidmatan asas," menurut kenyataan itu.

Kumpulan terbabit turut memberi amaran mengenai krisis kesihatan yang meningkat, termasuk mayat tidak dikebumikan di seluruh bandar berikutan keadaan keselamatan yang rapuh, di samping menggesa pertubuhan antarabangsa mewujudkan laluan selamat bagi orang awam yang melarikan diri daripada konflik.

Penyelarasan Jawatankuasa Penentangan di El Fasher, satu lagi kumpulan sukarelawan mengesahkan jumlah kematian dan melaporkan kemerosotan mendadak situasi kemanusiaan, termasuk pengeboman berterusan, keruntuhan perkhidmatan asas dan penutupan kebanyakan dapur amal berikutan kekurangan dana serta kenaikan harga.

Pada Khamis, Rangkaian Doktor Sudan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan mendedahkan 23 kematian akibat kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak dan wanita di El Fasher sepanjang bulan ini.

Pada Julai, kumpulan itu menyatakan seramai 239 kanak-kanak maut sejak Januari berikutan kekurangan makanan dan ubat-ubatan.

Pertempuran ganas antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan sekutunya dengan Rapid Support Forces (RSF) meletus di El Fasher sejak Mei 2024, dengan pertempuran semakin sengit dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sudan masih dilanda konflik lebih meluas antara SAF dan RSF yang tercetus pada April 2023, mengorbankan puluhan ribu nyawa serta memaksa jutaan orang menjadi pelarian, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan negara itu.

-- BERNAMA


#kebuluran #Sudan #kem pelarian Abu Shouk #krisis kemanusiaan