DUNIA

97 rakyat Indonesia dibawa pulang dari Iran, 26 dari Baitulmaqdis, Arabah dan Tel Aviv

Bernama 30/06/2025 | 10:34 MYT
Menurut Sugiono, seramai 386 rakyat Indonesia berada di Iran. Selain mereka yang telah dibawa pulang, sebahagian lagi memilih untuk kekal di negara itu. - Instagram Sugiono
JAKARTA: Kerajaan Indonesia melaksanakan operasi pemindahan seramai 97 rakyatnya dari Iran dan 26 lagi dari kawasan Tel Aviv, Baitulmaqdis serta Arabah susulan ketegangan yang semakin memuncak di rantau berkenaan, kata Menteri Luar Indonesia Sugiono pada Isnin, lapor agensi berita Xinhua.
"Kerajaan menubuhkan pasukan respons krisis dan akan meneruskan proses pemindahan sambil memantau keadaan rakyat Indonesia di tengah-tengah konflik yang masih berterusan," katanya pada Isnin.
Proses pemindahan itu dilaksanakan melalui Azerbaijan dengan kerjasama Kedutaan Indonesia di Tehran dan Amman.
Menurut beliau, seramai 386 rakyat Indonesia berada di Iran. Selain mereka yang telah dibawa pulang, sebahagian lagi memilih untuk kekal di negara itu.
Sementara itu, jumlah rakyat Indonesia di Tel Aviv, Baitulmaqdis dan kawasan Arabah pula adalah seramai 167 orang.
"Ada antara mereka yang memilih untuk terus tinggal di sana dan belum menyatakan hasrat untuk berpindah. Namun, kami tetap memantau keadaan semasa," katanya.
-- BERNAMA
#rakyat Indonesia #Iran #konflik #Sugiono #Kementerian Luar Indonesia #pemindahan