ABIM kesal pemerintah Taliban halang wanita belajar di universiti

Astro Awani
Disember 26, 2022 13:31 MYT
Muhammad Faisal menjelaskan, ABIM turut senada dengan kegusaran yang diluahkan oleh Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha bahawa keputusan itu dikhuatiri akan menjejaskan kredibiliti kerajaan semasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Wanita sememangnya turut berperanan dalam pembinaan negara dan memerlukan pendidikan yang sewajarnya, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Menurut Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, ABIM kesal dengan larangan yang dibuat pemerintah Afghanistan pimpinan Taliban yang menutup peluang pengajian di peringkat Universiti untuk golongan wanita.
Beliau menjelaskan, ABIM turut senada dengan kegusaran yang diluahkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Hissein Brahim Taha bahawa keputusan itu dikhuatiri akan menjejaskan kredibiliti kerajaan semasa.
"Dalam tradisi Islam, wanita mempunyai peranan yang besar dan diangkat sebagai orang yang berperanan dalam bidang keilmuan.
"Sejarah juga membuktikan terdapat wanita juga berperanan mengeluarkan fatwa yang hingga kini masih terpakai dan ini menunjukkan tradisi keilmuan tidak mengira latar gender.
"Golongan wanita mempunyai peranan yang besar dalam bidang keilmuan khususnya dalam mengeluarkan fatwa yang turut menjadi rujukan kaum Adam.
"Bagi ABIM, kita harus mengiktiraf wanita untuk diberikan hak yang sewajarnya dalam mendapatkan pendidikan diperingkat bawah hingga peringkat paling tinggi," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial.
Muhammad Faisal menjelaskan, di negara ini wanita bukan sahaja dibenarkan menuntut ilmu hingga ke universiti malah diberi peranan yang besar dalam pentadbiran negara.
Beliau juga menjelaskan ABIM sentiasa bersedia dalam ruang dialog dan kerjasama atas nama persaudaraan Muslim untuk bersama menyelesaikan perkara ini.
Baru-baru ini, pemerintah Afghanistan pimpinan Taliban membuat keputusan yang menghalang golongan wanita belajar di universiti.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Afghanistan dan ianya berkuat kuasa serta-merta.
#Angkatan Belia Islam #ABIM #Taliban #Afghanistan #wanita #pendidikan
;