Skip to main content

Dunia

ABIM pantau pembentukan Lembaga Keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza

41715932271_TBAbim.jpg
Ahmad Fahmi berkata keamanan berkekalan di Palestin mesti berpaksikan kepada kerangka penyelesaian politik yang adil dan menyeluruh. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memantau serius perkembangan cadangan pembentukan Lembaga Keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa dalam fasa kedua gencatan senjata di Gaza.

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata keamanan berkekalan di Palestin mesti berpaksikan kepada kerangka penyelesaian politik yang adil dan menyeluruh.

Advertisement

"Pendekatan yang tertumpu kepada pengurusan keselamatan semata-mata tanpa menyentuh akar isu penjajahan, pendudukan dan penafian hak menentukan nasib sendiri berisiko menjadi mekanisme pembekuan konflik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejarah hubungan antarabangsa menunjukkan model stabilisasi yang tidak disertai penamatan pendudukan serta pengiktirafan kedaulatan hanya akan mengekalkan ketidakseimbangan kuasa.

Ahmad Fahmi berkata ABIM bimbang struktur yang dicadangkan itu menjadi bentuk konfigurasi baharu kuasa menggantikan pendudukan langsung dengan pentadbiran yang masih mengawal ruang politik Palestin.

ABIM turut mempersoalkan sama ada kedua-dua entiti berkenaan beroperasi di bawah mandat sah badan antarabangsa berautoriti seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta tertakluk kepada undang-undang antarabangsa.

"Adakah rakyat Palestin termasuk di Gaza, Tebing Barat dan diaspora diberikan hak sebenar dan berdaulat untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri tanpa tekanan luar?" katanya.

Ahmad Fahmi turut membangkitkan sama ada pelucutan senjata bersifat menyeluruh atau hanya tertumpu kepada satu pihak tanpa jaminan keselamatan setara yang dipantau secara bebas.

Beliau juga menegaskan peluasan penempatan haram di Tebing Barat mesti dihentikan serta-merta dan mekanisme peralihan politik yang jelas supaya Gaza tidak bertukar menjadi zon pentadbiran antarabangsa jangka panjang yang menghakis kedaulatan Palestin.

Penyertaan mana-mana negara dalam misi keselamatan juga mestilah berlandaskan prinsip yang tegas dengan syarat utama, iaitu pengiktirafan dan penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967.

Selain itu, pelan peralihan politik perlu jelas dengan Baitulmuqaddis diiktiraf sebagai ibu negara Palestin, serta perlindungan menyeluruh hak rakyat Palestin termasuk pengembalian hak yang dirampas secara haram dan penamatan segera segala bentuk pendudukan.

ABIM turut menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam dan negara serantau memastikan sebarang model stabilisasi tidak mengabaikan prinsip hak Palestin menentukan nasib sendiri.

"Penyelesaian yang adil mestilah berpaksikan hak menentukan nasib sendiri, penamatan sistem aparteid serta penghormatan penuh terhadap undang-undang dan resolusi antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video