Aceh laksana hukuman sebat ke atas pasangan gay

Agensi
Mei 24, 2017 02:26 MYT
Seorang lelaki disebat di hadapan orang ramai kerana melakukan hubungan sejenis di Banda Aceh./Foto REUTERS/Beawiharta
Penguatkuasa agama di Indonesia telah melaksanakan hukuman sebat terhadap dua lelaki homoseksual pada Selasa.
Sebanyak 82 sebatan dikenakan ke atas dua lelaki itu, dengan disaksikan ratusan penduduk setempat.
Suasana riuh rendah menyelubungi kawasan sebuah masjid di Banda Aceh ketika pelaksanaan hukuman dijalankan oleh dua lelaki bertopeng di atas sebuah platform.
Hukuman berkenaan, yang dikritik kumpulan hak asasi manusia, menjadi simbol bermulanya pelaksanaan undang-undang anti homoseksual di wilayah itu pada tahun 2014.
Aceh dikenali sebagai lokasi paling konservatif di Indonesia, dan menggunakan undang-undang Islam sebagai kod undang-undang rasminya.
Ada dalam kalangan penonton merakam pelaksanaan hukuman itu menggunakan telefon pintar, malah ada juga melakukan penstriman secara langsung.
Ramai juga penduduk yang membawa kain rentang yang menentang pelakuan homoseksual di komuniti masyarakat Aceh.
“Saya harap tiada lagi kes homoseksual, ia mengejutkan,” kata Eni Tri Retnaningsih, seorang pelajar berusia 20 tahun.
Sebelum ini, kira-kira lapan orang lelaki dan wanita telah dikenakan hukuman sebat atas kesalahan-kesalahan lain, antaranya berzina.
#Aceh #gay #homoseksual #Islam #sebat #undang-undang