MENJELANG akhir tahun ini, suhu global terus mencatat rekod tertinggi dan sekali gus memerlukan tindakan segera bagi mengurangkan kemusnahan sistem iklim.

Sehubungan itu, perhatian seharusnya tertumpu kepada Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) yang kini berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Di COP28, tindakan berani harus diambil dalam usaha global menangani perubahan iklim.

Berikut beberapa perkara yang perlu anda tahu mengenai COP28.


Apakah itu ‘COP’

Persidangan perubahan iklim PBB merupakan perhimpunan tahunan berskala besar peringkat kerajaan yang memberi tumpuan kepada tindakan iklim.

Platform ini juga dirujuk sebagai COP - Persidangan Para Pihak kepada Konvensyen Kerangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Konvensyen UNFCCC berkuat kuasa pada 21 Mac 1994 untuk mengurangkan kemusnahan sistem iklim disebabkan tindakan manusia.

Hari ini, keahlian konvensyen terdiri daripada 198 negara - satu angka keahlian yang hampir universal. Perjanjian Paris 2015, diangkat sebagai matlamat pelaksanaan konvensyen ini.

COP28 akan dihadiri oleh lebih 60,000 orang terdiri daripada wakil dari negara-negara ahli UNFCCC, pemimpin industri, aktivis belia, wakil masyarakat pribumi, wartawan, dan pihak berkepentingan lain.

COP28 akan memberikan indikasi sejauh mana masyarakat global melibatkan diri dalam krisis iklim dan sebanyak mana perubahan yang perlu dilakukan.


Di mana dan bila?

COP28 akan berlangsung di Dubai Expo City dari 30 November hingga 12 Disember 2023.

Upacara perasmian akan berlangsung pada 30 November sebelum pemimpin dunia akan memberikan ucapan pada 1 dan 2 Disember 2023.




UAE menjadi tuan rumah untuk COP28 mewakili benua Asia, di mana setiap benua diberikan peluang untuk mempengerusikan persidangan ini.


Kenapa Persidangan COP28 penting?

Sejak Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim di COP21 dimeterai pada tahun 2015, fokus persidangan seterusnya tertumpu pada pelaksanaan matlamat utama iaitu menghentikan peningkatan suhu purata global jauh di bawah 2°C dan berusaha untuk membatasi kenaikan kepada 1.5°C di atas paras pra-industri.

Jika Paris menetapkan matlamat itu, Katowice (COP24) dan Glasgow (COP26) pula menunjukkan arah kepada pelan tersebut.

Seterusnya, di COP27 di Sharm el-Sheikh (COP27) mengambil tindakan pelaksanaan.

Kini, COP28 dijangka menjadi titik perubahan, di mana negara-negara tidak hanya bersetuju tentang 'APAKAH' tindakan iklim yang lebih tegas akan diambil, tetapi juga menunjukkan 'BAGAIMANA' untuk melaksanakannya.

Justeru, penting COP28 menjadi platform kayu pengukur kemajuan mencapai matlamat Paris mengenai mitigasi, adaptasi, dan kewangan iklim serta menyesuaikan pelan sedia ada.

Jadi, keputusan yang diambil oleh pihak-pihak di COP28 boleh muncul sebagai hasil paling bersejarah selepas persidangan Paris 2015.


Empat fokus utama COP28

1. Mempercepat transisi tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon sebelum tahun 2030
2. Mengubah kewangan iklim, dengan memenuhi janji lama dan menetapkan rangka kerja untuk perjanjian baharu
3. Menempatkan alam, manusia, kehidupan, dan mata pencarian di tengah-tengah tindakan iklim
4. Memobilisasi persidangan COP yang paling inklusif


Siapa yang bakal hadir?