Skip to main content

Dunia

Adidas saman White Fox berhubung reka bentuk empat jalur

Menurut Adidas, reka bentuk yang digunakan White Fox adalah hampir serupa dan boleh mengelirukan pengguna sehingga menimbulkan tanggapan bahawa terdapat hubungan atau kerjasama antara kedua-dua jenama berkenaan.
Menurut Adidas, reka bentuk yang digunakan White Fox adalah hampir serupa dan boleh mengelirukan pengguna sehingga menimbulkan tanggapan bahawa terdapat hubungan atau kerjasama antara kedua-dua jenama berkenaan.

Advertisement

SYDNEY: Pengeluar barangan sukan terkenal Jerman, Adidas, memfailkan saman terhadap jenama fesyen Australia, White Fox, atas dakwaan menjual dan mengiklankan pakaian dengan reka bentuk empat jalur yang disifatkan terlalu mirip dengan logo ikonik tiga jalurnya.

Menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Australia, Adidas mendakwa telah berulang kali meminta White Fox menghentikan penjualan dan promosi produk berkenaan sejak Mac lalu, namun syarikat itu enggan berbuat demikian.

Adidas menegaskan reka bentuk tiga jalurnya mempunyai reputasi kukuh dan nilai komersial yang tinggi di Australia, selain telah didaftarkan sebagai cap dagangan sejak 1957.

Syarikat itu mendakwa White Fox menjual serta mengiklankan pakaian yang menampilkan empat jalur selari dengan lebar yang sama, sekali gus melanggar hak cap dagangan miliknya.

Menurut Adidas, reka bentuk yang digunakan White Fox adalah hampir serupa dan boleh mengelirukan pengguna sehingga menimbulkan tanggapan bahawa terdapat hubungan atau kerjasama antara kedua-dua jenama berkenaan.

Adidas turut mendakwa beberapa bahan promosi White Fox memaparkan individu yang memakai produk Adidas tulen bersama pakaian atau stoking jenama White Fox, yang berpotensi mengukuhkan tanggapan bahawa syarikat sukan itu menyokong atau meluluskan reka bentuk berkenaan.

Syarikat itu menuduh White Fox mengambil kesempatan atas reputasi dan pengaruh jenamanya bagi menarik perhatian pengguna.

Dalam saman tersebut, Adidas turut menuntut ganti rugi dan keuntungan yang diperoleh White Fox daripada penjualan produk yang dipertikaikan, selain faedah dan kos guaman.

Sebagai sebahagian daripada bukti, Adidas mengemukakan perbandingan antara produknya dengan beberapa barangan White Fox termasuk seluar latihan dan seluar pendek, serta gambar iklan yang dipaparkan di bas dan hentian bas.

Adidas juga mendakwa satu iklan dalam talian pada Jun 2025 memaparkan stoking White Fox yang dimodelkan oleh individu memakai kasut Adidas berwarna merah jambu.

Menurut dokumen mahkamah, logo Adidas pada kasut itu kemudiannya diubah secara digital beberapa hari selepas tindakan undang-undang difailkan sebelum semua jalur pada kasut tersebut dibuang sepenuhnya daripada imej berkenaan.

White Fox, yang diasaskan pada 2013 oleh pasangan Georgia dan Daniel Contos, kini menjadi antara jenama fesyen dalam talian yang popular dalam kalangan remaja dan golongan dewasa muda di Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Syarikat milik persendirian itu dilaporkan terus berkembang di pasaran antarabangsa dengan mencatat pendapatan sebanyak AUD542 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir Jun 2025.

Peguam yang mewakili kedua-dua pihak enggan mengulas mengenai kes tersebut menjelang prosiding pertama yang dijadual berlangsung hari ini.

Ini bukan kali pertama Adidas mengambil tindakan undang-undang berkaitan reka bentuk jalurnya. Pada 2013, syarikat itu berjaya dalam saman terhadap Pacific Brands di Australia berhubung penjualan kasut yang menggunakan reka bentuk empat jalur.

 

 

Must Watch Video

Advertisement