KABUL: Pihak berkuasa Afghanistan pada Khamis mengisytiharkan wilayah tengah Bamiyan bebas daripada periuk api dan sisa bahan letupan akibat konflik dahulu, menjadikannya wilayah pertama di negara itu yang mencapai kejayaan tersebut, lapor Xinhua.
Menurut jurucakap pihak berkuasa, Hafiz Mohammad Yusuf Hammad, hampir 85 juta meter persegi tanah di Bamiyan telah dibersihkan daripada periuk api dan bahan letupan yang belum meletup sepanjang 36 tahun yang lepas.
Hammad berkata kira-kira 262 insiden membabitkan periuk api dan bahan letupan yang belum meletup direkodkan di wilayah itu dalam tempoh tersebut, mengakibatkan 330 orang terkorban atau cedera, dengan kanak-kanak paling ramai menjadi mangsa.
Afghanistan kekal sebagai salah sebuah negara paling teruk dicemari periuk api di dunia.
Konflik yang berlarutan selama lebih empat dekad telah meninggalkan kesan berbahaya berupa sisa bahan letupan, yang terus mengorbankan atau menyebabkan kecacatan kepada puluhan orang setiap bulan.
-- BERNAMA-XINHUA