[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
INTERNATIONAL

Ahli arkeologi jumpa makam Putera Firaun Userkaf, patung Firaun Djoser

Bernama 20/04/2025 | 09:00 MYT
Kompleks arkeologi Saqqara di selatan Kaherah mengandungi kawasan perkuburan kuno, yang mencatatkan pengebumian sejak Dinasti Pertama firaun (abad ke-31 hingga ke-29 SM). - Gambar/ Reuters
KAHERAH: Sekumpulan ahli arkeologi menemukan makam putera Firaun Userkaf serta sebuah patung Firaun Djoser ketika melakukan kerja-kerja penggalian di kawasan Saqqara, selatan Kaherah, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik kenyataan Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir.
"Waser-If-Re merupakan putera kepada Firaun Userkaf, pemerintah pertama Dinasti Kelima Mesir. Makamnya ditemukan bersama beberapa artifak penting yang berasal daripada Zaman Kerajaan Lama," menurut kementerian itu.
Pintu palsu gergasi yang diperbuat daripada granit merah jambu dengan ketinggian 4.5 meter dan lebar 1.15 meter turut ditemukan -- disifatkan sebagai penemuan pertama pintu palsu bersaiz sedemikian.
Ahli arkeologi terkenal Mesir, Dr Zahi Hawass berkata misi turut menemukan patung Firaun Djoser (pengasas Dinasti Ketiga), isterinya dan sepuluh orang puteri mereka di dalam makam berkenaan.
Hasil kajian menunjukkan bahawa patung-patung itu pada asalnya diletakkan di sebuah bilik berhampiran piramid milik Djoser, namun dipindahkan ke makam Waser-If-Re pada era selepasnya.
Kompleks arkeologi Saqqara di selatan Kaherah mengandungi kawasan perkuburan kuno, yang mencatatkan pengebumian sejak Dinasti Pertama firaun (abad ke-31 hingga ke-29 SM).
Monumen paling terkenal di Saqqara ialah piramid Djoser, yang dianggap sebagai piramid pertama dalam sejarah Mesir Purba.
-- BERNAMA
#makam firaun #Ahli Arkeologi #Firaun Userkaf #Firaun Djoser