Skip to main content

Dunia

Ahli Parlimen Australia kritikal selepas dirempuh kereta, polis siasat kemungkinan serangan

Helen Haines dikenali ramai dan dihormati sebagai seorang aktivis yang memperjuangkan usaha membanteras rasuah. - Foto REUTERS
Helen Haines dikenali ramai dan dihormati sebagai seorang aktivis yang memperjuangkan usaha membanteras rasuah. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Australia, Helen Haines, berada dalam keadaan kritikal selepas dirempuh kereta di luar pejabatnya di Wangaratta, Victoria.
  • Polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di lokasi kejadian dan sedang menyiasat sama ada insiden itu disengajakan.
  • Pihak berkuasa menegaskan tiada ancaman berterusan terhadap orang ramai, sementara siasatan melibatkan unit antikeganasan diteruskan.

MELBOURNE: Ahli Parlimen Australia, Helen Haines berada dalam keadaan kritikal selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian yang disiasat sebagai kemungkinan serangan disengajakan.

Haines, 65, yang merupakan Ahli Parlimen Bebas, dirempuh di luar pejabat kawasannya di Wangaratta, Victoria pada petang Isnin.

Seorang lelaki berusia 43 tahun dari Tarrawingee, sebuah bandar berhampiran, ditahan di lokasi kejadian dengan bantuan orang awam sebelum ditangkap polis.

Polis turut menemukan sebilah pisau di dalam kenderaan yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Pihak berkuasa kini menyiasat sama ada pelanggaran tersebut merupakan satu tindakan disengajakan, namun menegaskan tiada ancaman berterusan terhadap orang ramai setakat ini.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, masih terlalu awal untuk menentukan motif kejadian, tetapi mengakui ketegangan dalam landskap politik negara itu semakin meningkat.

“Tiada tempat untuk keganasan dalam sebuah demokrasi,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Tony Burke dalam pada itu memaklumkan, laporan mengenai tingkah laku berbentuk ancaman atau gangguan terhadap ahli politik meningkat daripada 951 kepada 1,067 kes sepanjang tahun lalu.

Menurut polis, Haines dirempuh sebuah Toyota LandCruiser berwarna putih pada pukul 3.35 petang di luar pejabatnya di Murphy Street, Wangaratta.

Wangaratta, yang mempunyai kira-kira 30,000 penduduk, terletak beberapa jam perjalanan ke timur laut Melbourne.

Seorang saksi memberitahu penyiar Australia, ABC bahawa dia terdengar bunyi dentuman sebelum melihat seorang wanita tersepit di antara dua kenderaan.

Haines pada mulanya dibawa ke sebuah hospital di Wangaratta sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Melbourne untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Suspek pula berjaya ditundukkan dan ditahan oleh seorang orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Albanese berkata, unit antikeganasan turut terlibat dalam siasatan kejadian tersebut.

“Ini bukan kemalangan. Berdasarkan apa yang kelihatan, terdapat tindakan yang disengajakan,” katanya.

Bagaimanapun, Polis Victoria berkata, siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada tindakan itu benar-benar disengajakan.

Menurut polis, masih belum diketahui sama ada Haines dan suspek saling mengenali.

Kejadian itu mencetuskan reaksi terkejut dalam kalangan pemimpin politik Australia.

Seorang lagi Ahli Parlimen Bebas, Allegra Spender yang pernah bekerjasama dengan Haines, menyifatkannya sebagai antara individu terbaik dalam kalangan mereka.

Sementara itu, laporan Parlimen Australia tahun lalu memberi amaran bahawa ancaman serta serangan fizikal telah meningkat dengan ketara sepanjang sedekad lalu.

Penilaian ancaman oleh Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) tahun lalu turut memberi amaran bahawa risiko keganasan bermotifkan politik telah berada pada tahap membimbangkan.

Albanese dilihat sebak ketika membicarakan keadaan Haines dalam temu bual secara langsung menerusi program 7.30 terbitan ABC.

Ketika ditanya sama ada beliau dan rakan-rakan politiknya sering berbincang mengenai ancaman serta risiko keselamatan yang dihadapi, Albanese menjawab: “Ya.”

“Kebimbangan saya ketika ini adalah terhadap seorang daripada rakan sekerja saya,” katanya sambil menyifatkan Haines sebagai seorang yang berintegriti.

Ketua Pembangkang merangkap pemimpin Parti Liberal, Angus Taylor pula berkata, beliau amat sedih dan tertekan dengan berita berkenaan sambil menyifatkan rakyat Australia pasti marah dan terkejut dengan apa yang berlaku terhadap Haines.

Pemimpin The Nationals, Senator Matt Canavan menyampaikan simpati kepada Haines dan keluarganya, manakala pemimpin Greens, Senator David Shoebridge berkata beliau berasa ngeri mendengar mengenai serangan yang disyaki itu.

Pemimpin One Nation, Senator Pauline Hanson pula menegaskan keganasan terhadap wakil rakyat tidak boleh diterima dan anggota Parlimen serta kakitangan mereka mesti dapat berkhidmat kepada masyarakat tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan masing-masing.

 

 

Must Watch Video

Advertisement