DUNIA
Ahli sejarah konservatif, Karol Nawrocki menang Pilihan Raya Presiden Poland
Nawrocki, dalam ucapan pertamanya selepas kemenangan, berjanji untuk memastikan Poland kekal sebagai negara yang selamat dengan ekonomi yang kukuh serta mempertahankan tradisi dan sejarah negara. - Foto AP
WARSAW: Ahli sejarah konservatif, Karol Nawrocki telah memenangi Pilihan Raya Presiden Poland dalam persaingan sengit menentang Rafal Trzaskowski, Datuk Bandar Warsaw yang pro-Eropah.
Menurut keputusan rasmi, Nawrocki memperoleh 50.89 peratus undi, manakala Trzaskowski menerima 49.11 peratus, menjadikan kemenangan ini sebagai salah satu yang paling ketat dalam sejarah pilihan raya Poland.
Nawrocki, yang disokong oleh parti Law and Justice (PiS) dijangka meneruskan dasar konservatif pendahulunya, Presiden Andrzej Duda, termasuk menolak usaha kerajaan untuk meliberalisasi undang-undang pengguguran dan mereformasi sistem kehakiman.
Kemenangan Nawrocki memberikan tamparan kepada kerajaan pro-Eropah pimpinan Perdana Menteri Donald Tusk, yang kini berdepan cabaran besar dalam melaksanakan agenda reformasi.
Dengan kuasa veto Presiden, Nawrocki boleh menghalang sebarang usaha kerajaan untuk mengubah dasar-dasar utama.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, mengucapkan tahniah kepada Nawrocki dan mengiktiraf peranan Poland sebagai "tonggak keselamatan serantau dan Eropah".
Sementara itu, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orbán yang berkongsi pandangan nasionalis dengan Nawrocki, menyifatkan kemenangan ini sebagai "kejayaan luar biasa."
Selepas keputusan diumumkan, Tusk menyatakan beliau akan meminta undi kepercayaan di Parlimen bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan campurannya, yang terdiri daripada pelbagai ideologi termasuk konservatif, centrist dan sayap kiri.
Jika Tusk gagal dalam undi kepercayaan, ia boleh membawa kepada ketidakstabilan politik dan kemungkinan pilihan raya awal sebelum penggalnya berakhir pada 2027.
Nawrocki, dalam ucapan pertamanya selepas kemenangan, berjanji untuk memastikan Poland kekal sebagai negara yang selamat dengan ekonomi yang kukuh serta mempertahankan tradisi dan sejarah negara.
Dengan landskap politik Poland kini berubah, pemerhati antarabangsa akan terus mengikuti perkembangan hubungan antara presiden baharu dan kerajaan yang sedang berkuasa.