DAVOS: Bukan rahsia lagi bahawa Bill Gates yakin dengan kecerdasan buatan (AI).

Bilionair itu meramalkan teknologi itu akan mengubah sistem kehidupan manusia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perkembangan AI telah mencetus kebimbangan bahawa teknologi itu akan menghapuskan jutaan pekerjaan di seluruh dunia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada minggu ini pula melaporkan sekitar 40 peratus pekerjaan di seluruh dunia boleh terjejas berikutan peningkatan AI.

Gates tidak semestinya tidak bersetuju dengan tanggapan itu, namun, beliau percaya sejarah menunjukkan dengan setiap teknologi baharu hadir ketakutan dan menyusul dengan peluang baharu.

“Seperti yang kita ada (dengan) produktiviti pertanian pada tahun 1900, semua orang tertanya-tanya 'hei, apa yang akan orang lakukan?'

“Sebenarnya, banyak perkara baharu, banyak kategori pekerjaan baharu telah dicipta dan kita kini jauh lebih baik… berbanding ketika semua orang melakukan kerja ladang. Ini (AI) akan menjadi seperti itu," kata Gates.

Dalam temu bual dengan Fareed Zakaria CNN pada Selasa, Gates meramalkan AI akan menjadikan kehidupan semua orang lebih mudah, khususnya dengan memberi contoh bagaimana teknologi itu membantu doktor membuat kertas kerja – iaitu "sebahagian daripada pekerjaan yang mereka tidak suka, dan (AI) boleh menjadikan tugas menyiapkan kertas kerja dengan cekap."

Memandangkan tiada keperluan untuk memiliki "banyak gajet baharu," kata Gates, AI dapat diakses melalui "telefon atau komputer peribadi yang telah anda sambungkan melalui sambungan internet yang telah anda miliki."

Beliau juga berkata, penambahbaikan OpenAI's ChatGPT-4 adalah "dramatik" kerana ia boleh "pada asasnya membaca dan menulis" oleh itu ia "hampir seperti mempunyai pekerja kolar putih menjadi tenaga pengajar, memberi nasihat kesihatan, membantu menulis kod dan menawarkan bantuan sokongan teknikal.”

Bahkan, kata beliau, gabungan teknologi AI ke dalam sektor pendidikan atau perubatan akan menjadi lebih "hebat."

Microsoft memiliki perkongsian kerjasama berbilion dolar dengan OpenAI dan Gates kekal sebagai salah seorang pemegang saham terbesar Microsoft.

"Matlamat Yayasan Gates adalah untuk memastikan bahawa kelewatan antara memberi manfaat kepada orang di negara miskin berbanding ke negara kaya akan menjadikannya sangat singkat

“Sementelah, kekurangan doktor dan guru jauh lebih teruk di Afrika berbanding di Barat," kata Gates kepada Zakaria di Davos semasa menyertai Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Berkongsi kekayaan

Gates yang memiliki kekayaan bernilai AS$140 bilion menjadikannya orang keempat terkaya di dunia, menurut Indeks Billionaires Bloomberg.

Beliau juga barangkali, masih menjadi orang terkaya di dunia jika tidak komited untuk berkongsi kekayaan yang dimilikinya.

Kepada CNN, Gates berkata, beliau tidak bimbang mengenai kehilangan kekayaannya.

"Saya mempunyai lebih daripada cukup wang untuk kegunaan saya sendiri," kata Gates apabila ditanya Zakaria mengenai kerja-kerja kebajikannya.

"Saya sedang berusaha untuk keluar dari dalam senarai (orang paling kaya) dan saya akan berbangga apabila kedudukan saya itu menurun."

Pengasas bersama Microsoft dan bekas isterinya, Melinda French Gates, kedua-duanya telah berjanji untuk menderma sebahagian besar kekayaan mereka kepada yayasan yang mereka tubuhkan bersama 20 tahun lalu, serta kepada kerja-kerja kebajikan lain.

Pada 2022, Gates mengumumkan hasrat yayasan itu untuk memberikan AS$9 bilion setiap tahun menjelang 2026.

Gates sangat "teruja” pemberian itu akan memberi impak kepada banyak organisasi yang disalurkan.

Kata Gates, beliau dan rakan kongsinya seperti Warren Buffett telah menyumbang sekitar AS$100 bilion ke dalam yayasannya.

Pada kadar sumbangan AS$9 bilion setahun, Gates menjangkakan beliau akan menghabiskan semua wangnya dalam masa sekitar 20 tahun. - CNN