GENEVA: Satu kajian baharu oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendedahkan bahawa kecerdasan buatan generatif (GenAI) berpotensi mempengaruhi kehidupan pekerjaan hampir 80 juta pekerja di seluruh ASEAN, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Bagaimanapun, kajian itu menyatakan, hanya sebahagian kecil daripada mereka bekerja dalam pekerjaan yang mempunyai tahap pendedahan tertinggi kepada GenAI dan setakat ini tiada bukti menunjukkan berlakunya kehilangan pekerjaan secara besar-besaran.
Laporan bertajuk "Generative AI and Labour Markets in ASEAN: Significant Exposure, Limited Disruption, Uneven Preparedness" mengkaji implikasi GenAI terhadap pekerjaan dan pasaran buruh di 11 negara ASEAN dengan menilai tahap pendedahan mengikut jenis pekerjaan serta corak semasa penggunaan teknologi itu.
Menurut anggaran ILO bagi 2025, sebanyak 22.9 peratus daripada jumlah pekerjaan di ASEAN, bersamaan hampir 80 juta pekerja, berada dalam kategori pekerjaan yang mempunyai sekurang-kurangnya sedikit potensi pendedahan kepada GenAI.
Namun, hanya 3.3 peratus daripada tenaga kerja, atau kira-kira 11.7 juta pekerja, bekerja dalam pekerjaan yang diklasifikasikan dalam kategori "pendedahan tertinggi".
Pada masa sama, kira-kira 67 peratus pekerjaan di ASEAN masih tertumpu dalam kategori yang dikenal pasti tidak mempunyai pendedahan kepada GenAI.
Daripada sembilan negara ASEAN yang mempunyai data, Singapura mencatatkan peratusan tertinggi pekerja yang mempunyai sekurang-kurangnya sedikit pendedahan kepada GenAI, iaitu 42.2 peratus daripada jumlah pekerjaan.
Ia diikuti Filipina (28.1 peratus), sebahagiannya disebabkan ekonomi negara itu yang lebih berorientasikan sektor perkhidmatan dan teknologi maklumat (IT), Indonesia (21.7 peratus), Vietnam (20.8 peratus) dan Thailand (20.6 peratus).
Laporan itu turut menyatakan bahawa jumlah pekerjaan dalam kategori yang mempunyai pendedahan tinggi kepada GenAI terus meningkat di seluruh ASEAN.
"Potensi perubahan dalam pasaran buruh adalah besar, namun gangguan secara meluas masih belum dapat dilihat," menurut laporan itu.
Penggunaan GenAI masih berada pada peringkat awal dan tidak sekata, dengan penerimaan lebih tertumpu dalam pekerjaan berintensifkan teknologi, manakala penggunaannya dalam tugas pejabat dan pentadbiran masih agak terhad walaupun sektor itu mempunyai tahap pendedahan yang tinggi.
Laporan itu turut mendapati pekerja muda berusia antara 15 hingga 24 tahun dan pekerja dewasa mempunyai tahap pendedahan kepada GenAI yang hampir sama. Namun, terdapat jurang ketara dari segi jantina.
Wanita didapati lebih dua kali ganda berkemungkinan bekerja dalam pekerjaan yang mempunyai tahap pendedahan tinggi kepada GenAI berbanding lelaki, berikutan mereka lebih ramai tertumpu dalam bidang perkeranian, pentadbiran dan profesional.
Kajian itu juga mengenal pasti jurang tahap kesiapsiagaan yang tidak sekata di rantau ini, dengan Singapura menonjol sebagai ekosistem AI yang berdaya saing di peringkat global hasil gabungan infrastruktur digital yang maju, tenaga mahir yang mencukupi serta pendekatan menyeluruh kerajaan dalam pelaksanaan strategi AI.
Bagi memastikan inovasi AI menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkualiti serta menjamin manfaat yang inklusif dan saksama di seluruh ASEAN, laporan itu menggariskan beberapa keutamaan serantau.
Antaranya ialah tadbir urus berteraskan manusia, pembangunan kemahiran secara inklusif melalui peluasan program peningkatan dan latihan semula kemahiran dengan tumpuan khusus kepada wanita dan belia, sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengatasi halangan dalam penggunaan AI, serta memperkukuh perkongsian pengetahuan dan penyelarasan pembangunan modal insan dalam kalangan negara anggota.
-- BERNAMA-WAM
TAG: ILO, GenAI, kecerdasan buatan, ASEAN, pasaran buruh, pekerjaan, tenaga kerja