[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

AI boleh akibatkan jurang gaji gender dalam beberapa sektor meluas - Kajian

Bernama 30/09/2025 | 00:00 MYT
Terdapat kemungkinan besar GenAI boleh bertindak sebagai pemangkin untuk meningkatkan jurang gaji gender dan bukannya mengurangkannya. - Gambar hiasan
LONDON: Kecerdasan buatan (AI) berpotensi meluaskan jurang gaji gender dalam beberapa sektor termasuk pembinaan, pembuatan dan tenaga, menurut kajian, lapor PA Media/dpa.

Perunding AI, AINigma berkata, sektor lain seperti logistik, utiliti, ekuiti swasta dan seni kreatif juga mungkin menyaksikan peningkatan perbezaan gaji antara lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, jurang itu berpotensi dikecilkan dalam bidang lain termasuk perkhidmatan undang-undang, sektor awam, kewartawanan dan pemasaran, menurut kajian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AINigma, Arne Mosselman berkata: "Secara purata, 20 peratus lebih ramai lelaki menggunakan alat GenAI (kecerdasan buatan generatif) seperti ChatGPT berbanding wanita."

"Ini bermakna terdapat kemungkinan besar GenAI boleh bertindak sebagai pemangkin untuk meningkatkan jurang gaji gender dan bukannya mengurangkannya.

"Dengan 42 peratus pekerja pejabat mengatakan mereka menggunakan GenAI di tempat kerja dan seorang daripada tiga pekerja itu mengaku merahsiakannya, syarikat perlu memberikan hala tuju yang jelas serta kebenaran kepada pekerja berhubung penggunaan AI di tempat kerja, atau berisiko mewujudkan ketidaksamaan gender yang lebih besar pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA



#AI #kecerdasan buatan #jurang gaji gender #kecerdasan buatan generatif