DUNIA

AI boleh percepat ketidaksamaan global - Laporan PBB

Bernama 02/12/2025 | 14:38 MYT
Walaupun AI menawarkan peluang besar untuk pertumbuhan, negara-negara di dunia memulakan peralihan ini dari kedudukan yang sangat tidak seimbang. - Reuters
GENEVA: Laporan baharu Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada Selasa memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh mempercepat ketidaksamaan global melainkan negara-negara mengukuhkan kesiapsiagaan digital dan sistem tadbir urus untuk mengurus peralihan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Laporan bertajuk The Next Great Divergence: Why AI May Widen Inequality Between Countries itu menyatakan bahawa walaupun AI menawarkan peluang besar untuk pertumbuhan, negara-negara "memulakan peralihan ini dari kedudukan yang sangat tidak seimbang," sekali gus meningkatkan risiko bahawa jurang sedia ada dalam prestasi ekonomi, kemampuan manusia dan tadbir urus menjadi semakin melebar.

Menurut laporan itu, Asia dan Pasifik yang dihuni lebih 55 peratus penduduk dunia berada di pusat perubahan ini. Rantau itu kini merangkumi lebih separuh pengguna AI global dan dengan pesat memperluas jejak inovasinya, daripada kebangkitan China yang menyumbang hampir 70 peratus paten AI global kepada lebih 3,100 syarikat AI baharu yang dibiayai merentasi enam ekonomi.

Laporan itu berkata AI boleh meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sekitar dua mata peratusan di rantau itu, dan ekonomi ASEAN berpotensi meraih hampir US$1 trilion tambahan dalam KDNK sepanjang dekad akan datang.

Namun potensi itu turut hadir bersama risiko yang semakin meningkat. Jutaan pekerjaan, khususnya yang disandang wanita dan golongan muda, berdepan pendedahan tinggi kepada automasi sekiranya tadbir urus yang beretika dan inklusif tidak diutamakan.

Di Asia Selatan, laporan itu menyatakan wanita mempunyai kemungkinan sehingga sehingga 40 peratus lebih rendah berbanding lelaki untuk memiliki telefon pintar, sekali gus menonjolkan jurang akses digital yang berterusan.

"AI bergerak pantas ke hadapan, dan banyak negara masih berada di garisan permulaan," kata Penolong Setiausaha Agung PBB merangkap Pengarah Serantau UNDP bagi Asia dan Pasifik, Kanni Wignaraja. "Pengalaman Asia dan Pasifik menunjukkan betapa cepatnya jurang boleh muncul antara mereka yang membentuk AI dan mereka yang dibentuk olehnya."

Penerbitan itu turut menonjolkan perkembangan pesat penggunaan AI dalam pentadbiran awam, termasuk platform di Bangkok, Singapura dan Beijing yang mengubah penyampaian perkhidmatan dan perancangan bandar. Namun peraturan AI yang komprehensif masih terhad, dan menjelang 2027 lebih 40 peratus pelanggaran data berkaitan AI global mungkin berpunca daripada penyalahgunaan AI generatif.

"Garisan pemisah utama dalam era AI ialah keupayaan," kata Ketua Ahli Ekonomi UNDP untuk Asia dan Pasifik, Philip Schellekens. "Negara-negara yang melabur dalam kemahiran, kuasa pengkomputeran dan sistem tadbir urus yang kukuh akan mendapat manfaat manakala yang lain berisiko ketinggalan jauh."

-- BERNAMA

#kecerdasan buatan #AI #PBB #ketidaksamaan global #digital