DUNIA
Air India gantung penerbangan ke Washington DC mulai 1 September

Air India mengumumkan penggantungan perkhidmatannya antara Delhi dan Washington berkuat kuasa 1 Sept 2025, disebabkan gabungan faktor operasi bagi memastikan kebolehpercayaan dan integriti rangkaian laluan Air India secara keseluruhan. - Gambar fail
NEW DELHI: Syarikat penerbangan negara India, Air India, mengumumkan pada Isnin yang ia akan menggantung perkhidmatan penerbangan antara Delhi dan Washington, DC, mulai 1 Sept berikutan kerja pemodenan pesawat Boeing 787-8, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Air India hari ini mengumumkan penggantungan perkhidmatannya antara Delhi dan Washington, DC, berkuat kuasa 1 Sept 2025, disebabkan gabungan faktor operasi bagi memastikan kebolehpercayaan dan integriti rangkaian laluan Air India secara keseluruhan.
Penggantungan ini didorong terutamanya oleh kekurangan sementara dalam jumlah pesawat, selepas syarikat memulakan kerja menaik taraf ke atas 26 pesawat Boeing 787-8 bulan lalu," menurut kenyataan itu.
Program pemodenan itu akan menyebabkan beberapa pesawat Boeing tidak dapat digunakan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun 2026, menurut syarikat itu.Selain itu, penutupan ruang udara Pakistan yang masih berkuat kuasa turut menyukarkan operasi penerbangan jarak jauh, memaksa syarikat memilih laluan lebih panjang dan berdepan cabaran operasi tambahan.
Sebagai langkah susulan, Air India berkata penumpang yang membuat tempahan ke atau dari Washington, DC selepas 1 Sept akan dihubungi untuk membincangkan pengaturan perjalanan alternatif.
Pada 12 Jun, pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Air India yang dalam perjalanan ke London terhempas beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang di bandar Ahmedabad, barat India.
Pihak berkuasa penerbangan India mengesahkan terdapat 242 orang dalam pesawat itu. Hanya seorang penumpang yang terselamat. Media tempatan melaporkan pesawat itu terhempas atas asrama pelajar perubatan dan mengorbankan 275 orang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami