KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa perbuatan vandalisme telah menyebabkan kerosakan serius terhadap kolam pantulan Memorial Lincoln di Washington, sekali gus memaksa pihak berkuasa mempertimbangkan untuk mengeringkan sebahagian besar air kolam itu bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan.
Menerusi hantaran di platform media sosial Truth Social pada Sabtu, Trump berkata beberapa lagi individu telah ditahan berhubung insiden itu yang disifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap warisan negara.
Beliau mendakwa pelaku telah merosakkan struktur kolam berkenaan dengan membuat torehan sepanjang kira-kira 250 kaki menggunakan pisau atau bilah tajam serta mencurahkan bahan kimia menghakis ke dalam kolam.
"Apa yang dilakukan oleh perosak ini merupakan satu penghinaan besar terhadap kedua-dua Presiden George Washington dan Abraham Lincoln," katanya.
Trump menjelaskan beliau telah mengadakan pertemuan dengan kontraktor bagi membincangkan langkah pembaikan dan menjangkakan sebahagian besar air kolam itu perlu dilepaskan untuk membolehkan kerja-kerja berkenaan dilaksanakan.
Menurut beliau, kolam pantulan itu berada dalam keadaan terbaik sejak mula dibina pada 1922 dan baru sahaja selesai menjalani projek naik taraf yang melibatkan kos berjuta-juta dolar.
Trump turut berkata permukaan kolam yang baharu mampu menghasilkan pantulan seperti cermin terhadap Memorial Washington dan Memorial Lincoln, sesuatu yang menurutnya tidak pernah dicapai sebelum ini.
Beliau menambah, kerosakan yang berlaku bukan sahaja melibatkan struktur kolam, malah menjejaskan kawasan rumput di sekitarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan akan memastikan kerja pembaikan dilaksanakan dengan segera bagi mengembalikan struktur berkenaan kepada keadaan asal.
Setakat ini, Trump tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan bahawa kerosakan itu berpunca daripada perbuatan vandalisme.
Pihak berkuasa termasuk Polis Taman AS, Jabatan Dalam Negeri AS dan Pejabat Peguam AS bagi Daerah Columbia belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan berkenaan.
Pada 6 Jun lalu, Trump mengumumkan projek naik taraf kolam pantulan Memorial Lincoln bernilai AS$14.7 juta telah siap sepenuhnya.