Air New Zealand perkenal "no jab, no fly" untuk pengembara antarabangsa

Bernama
Oktober 3, 2021 09:23 MYT
Bermula Februari 2022, hanya pelanggan yang lengkap vaksin COVID-19 dibenarkan menaiki pesawat penerbangan Air New Zealand. - Gambar fail/REUTERS
WELLINGTON: Bermula Februari 2022, hanya pelanggan yang lengkap vaksin COVID-19 dibenarkan menaiki pesawat penerbangan Air New Zealand, lapor Agensi Berita Xinhua.
"Kami bersiap-siap untuk berhubung kembali dengan dunia dan memaklumkan kepada pelanggan apa yang perlu mereka lakukan untuk bersedia berlepas dengan pesawat kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Air New Zealand, Greg Foran pada Ahad.
Syarat vaksinasi itu tertakluk kepada semua penumpang berusia 18 tahun ke atas untuk ketibaan dan pelepasan.
Pelanggan yang tidak divaksin perlu mengemukakan bukti mereka tidak boleh divaksin atas alasan perubatan.
"Vaksin COVID-19 kini adalah realiti baharu perjalanan antarabangsa - banyak destinasi yang ingin dikunjungi sudah ditutup untuk pengunjung yang tidak divaksin. Semakin cepat kita diberi vaksin, semakin cepat kita dapat terbang ke pelbagai tempat seperti New York, Vancouver dan Narita.
"Kami mendengar maklum balas pelanggan dan pekerja bahawa langkah ini penting bagi mereka. Syarat itu akan memudah dan memberi ketenangan kepada kedua-dua pihak iaitu pelanggan mahupun pekerja," kata Foran.
-- BERNAMA
#Air New Zealand #no fly no jab #Greg Foran #lengkap vaksin #COVID-19 #penerbangan