Skip to main content

Dunia

AirAsia Filipina perkukuh kerjasama dengan polis tangani cabaran keselamatan

61729064560_AirAsia.jpg
Kerjasama AirAsia Filipina dengan PNP AVSEGROUP mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan perjalanan udara sentiasa selamat, terjamin dan lancar bagi semua penumpang. - Gambar fail
Advertisement

MANILA: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Filipina memperkukuh kerjasama dengan polis penerbangan bagi menangani isu keselamatan, selepas mengambil maklum bahawa kira-kira 114 individu yang terlibat dalam kes dokumen perjalanan palsu dan penyamaran identiti telah ditahan pada tahun lepas.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa wakilnya telah mengadakan pertemuan baru-baru ini dengan pegawai Kumpulan Keselamatan Penerbangan Polis Kebangsaan Filipina (PNP AVSEGROUP) bagi membincangkan isu seperti penggunaan dokumen palsu, kecurian dalam pesawat, serta prosedur pengangkutan bagi penumpang yang membawa senjata api.

"Kerjasama kami dengan PNP AVSEGROUP mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan perjalanan udara sentiasa selamat, terjamin dan lancar bagi semua penumpang," kata Pengurus Besar AirAsia Filipina, Anna Victoria Lu dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu menyebut AVSEGROUP telah memberikan komitmen untuk menyelaraskan tindakan dengan pihak berkuasa tempatan serta menggerakkan sumber perisikan bagi menyiasat punca dokumen pengenalan palsu tersebut, termasuk individu atau kumpulan yang memudahkan penggunaannya.

"Memperkasakan penguatkuasaan terhadap pemalsuan dokumen dapat membantu melindungi pengembara yang sah, menjaga keselamatan lapangan terbang, selain mengekalkan integriti sistem penerbangan," tegas AirAsia.

Bagi menangani kes kecurian dalam pesawat, AVSEGROUP dan AirAsia membincangkan langkah-langkah untuk memperkukuh tindak balas insiden, pemeliharaan bahan bukti, bantuan penumpang, serta penyelarasan penguatkuasaan undang-undang.

"Melalui kerjasama dan perkongsian maklumat, kami dapat melindungi penumpang dengan lebih baik. Kami bukan sahaja menangani cabaran semasa seperti penipuan perjalanan dan kecurian dalam pesawat, malah kami juga sedang bersiap sedia untuk menghadapi potensi risiko pada masa hadapan," kata Pengarah PNP AVSEGROUP, Dionisio Bartolome Jr. seperti yang dipetik dalam kenyataan itu.

Sementara itu, wakil AirAsia turut membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan keperluan pengiring bagi senjata api.

Syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa AVSEGROUP komited untuk meningkatkan penugasan fasilitator senjata api bagi memastikan pematuhan penuh terhadap prosedur operasi standard (SOP), pengiringan senjata api secara berterusan dari peringkat penerimaan sehingga pemuatan ke dalam pesawat, serta menjalankan semakan berkala terhadap proses fasilitasi dan dokumentasi berkaitan.

-- BERNAMA-PNA

Must Watch Video

Advertisement