VIRUS COVID-19 dikesan pada ais krim di China selepas tiga sampel diuji positif.

Pihak berkuasa di Perbandaran Tianjin, utara China kini sedang mengesan individu yang mempunyai kontak dengan bekalan ais krim yang dikeluarkan The Daqiaodao Food Company.

Kesemua produk yang dikeluarkan syarikat itu telah diasingkan selepas sampel-sampel yang dihantar ke pusat kawalan penyakit perbandaran itu diuji positif minggu ini, menurut laporan Sky News.

Hasil siasatan epidemiologi awal menunjukkan syarikat itu mengeluarkan stok ais krim berkenaan menggunakan bahan mentah termasuk serbuk susu yang diimport dari New Zealand dan serbuk whey dari Ukraine.

Seorang pakar virologi, Dr Stephen Griffin dari Universiti Leeds bagaimanapun memberitahu Sky News, berita itu tidak seharusnya memberi sebab untuk panik.

“Virus itu berkemungkinan datang daripada seseorang dan tanpa mengetahui maklumat lanjut, saya rasa ini satu-satu kes yang berlaku sebegini,” kata Dr Stephen.

Beliau menjelaskan bahawa suhu sejuk bagi menyimpan ais krim tersebut serta kandungan lemak mungkin menjelaskan bagaimana virus itu dapat kekal pada sampel yang diambil.

“Kita tidak perlu panik dan menganggap setiap ais krim boleh dicemari koronavirus,” tegasnya.

Kesemua 1,662 kakitangan syarikat itu telah diarahkan kuarantin dan menjalani ujian saringan pada Khamis.

Daripada 2,747 kotak ais krim yang dihantar ke pasaran, sebanyak 935 berada di Tianjin dan 65 yang telah dijual.

Pihak majlis perbandaran telah memaklumkan kepada pihak berkuasa di wilayah-wilayah lain yang turut mempunyai ais krim itu di pasaran supaya dapat mengesan produk berkenaan.